Saturday 21 August 2010

Kepentingan Kajian Sains Sosial

(Berikut adalah artikel saya yang diterbitkan di laman web Centre for Policy Initiatives pada 12 Ogos 2010 di bawah tajuk 'Masalah kurang kajian dan pribumi pulang ke Bakun')

Sejak beberapa dekad yang lalu, kita ghairah menggalak pelajar-pelajar mengambil jurusan sains tulen. Hasrat kerajaan ialah untuk melahirkan jurutera-jurutera dan saintis-saintis tempatan untuk memacu pertumbuhan industri berat dan teknologi tinggi di dalam negara.

Bilamana tumpuan lebih diberikan pada bidang kejuruteraan, sains komputer, fizik dan pelbagai bidang sains tulen yang lain, jurusan sains sosial kurang diberi perhatian, walhal peranannya dalam perancangan dasar dan pelan pembangunan seharusnya tidak diabaikan.

Mengkaji kesan pembangunan kepada masyarakat adalah tugas dan bidang ahli-ahli sains sosial. Seorang ahli sosiologi misalnya akan mengkaji perihal kesan pembangunan kepada institusi keluarga, masalah sosial, kesejahteraan penduduk, taraf pendidikan dan kesihatan masyarakat.

Kajian-kajian yang dilakukan penting bagi merangka polisi kerajaan yang menjurus ke arah pembangunan yang lebih seimbang. Memang menjadi hasrat ahli-ahli sains sosial agar hasil kajian saintifik dijadikan asas pertimbangan bilamana sesuatu dasar yang baru dan projek pembangunan ingin dilaksanakan.

Maka sebagai seorang ahli seumur hidup Persatuan Sains Sosial Malaysia, saya menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud baru-baru ini yang mengiktiraf peranan sains sosial dalam merancang pembangunan.

Ketika berucap pada satu majlis pertemuan dengan pelajar-pelajar dari Sarawak di London pada 26 Julai yang lalu, Abdul Taib Mahmud dilaporkan telah menyebut bahawa adalah penting bagi kerajaan negeri mencapai persefahaman dengan masyarakat Penan dan kaum-kaum asal yang lain tentang penempatan baru bagi mereka yang terpaksa dipindahkan kerana pembinaan projek hydro di negeri tersebut. Di sinilah, menurut beliau, sumbangan dan kemahiran ahli-ahli sains sosial amat diperlukan.

Pakar-pakar dalam bidang sains sosial memang boleh banyak menyumbang. Sebaik-baiknya, setiap kali sebelum suatu dasar atau projek pembangunan itu diluluskan, perlu dijalankan kajian impak sosial polisi dan projek berkenaan. Perlu ditekankan di sini, kajian-kajian sepatutnya dijalankan sebelum, bukan sahaja, selepas perlaksanaan.

Inilah yang sering menjadi masalah. Kajian-kajian sosial yang neutral dan saintifik tidak dijadikan asas pertimbangan. Yang lebih diutamakan adalah pendapat dan pendirian peribadi perdana menteri, ketua menteri atau menteri yang bertanggungjawab.

Lihat saja pada kronologi bagaimana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan. Idea asal dasar ini datang dari perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Seterusnya dibawa ke persidangan Pemuda Umno untuk didebatkan. Tidak lama selepas itu dibawa ke mesyuarat kabinet dan kemudiannya terus diluluskan.

Tidak diketahui samada ada kajian dijalankan untuk meramal kesan jangka pendek dan jangka panjang dasar berkenaan. Tidak diketahui juga samada kajian terperinci telah dijalankan untuk mengukur samada guru-guru yang sedia-ada sudah cukup terlatih untuk melaksanakan PPSMI.

Nyata sekali kajian-kajian seperti ini tidak dianggap penting. Yang penting ialah pendapat dan keputusan perdana menteri dan mesyuarat kabinet. Selain daripadanya dianggap butiran yang boleh ditangani kemudian.

Proses yang sama kini sudah kelihatan dalam perbincangan usul Kementerian Pelajaran untuk menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Idea asal datang dari Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran. Memang ada beberapa perbincangan meja-bulat diadakan. Namun, sepertimana yang berlaku sebelum dasar PPSMI dilaksanakan, kerajaan nampaknya sudah jelas menjurus ke arah penghapusan kedua-dua peperiksaan berkenaan.

Badan-badan dan pertubuhan yang mewakili guru-guru dan ibubapa sudah menyuarakan bantahan, namun ini nampaknya tidak begitu diendahkan. Ramai pihak menuntut agar apa jua keputusan yang diambil perlu dibuat berdasarkan hasil kajian saintifik yang telus dan mendalam. Sekali lagi, tuntutan ini tidak dianggap penting dan tidak dilayan.

Agak aneh juga memikirkan adakah Abdul Taib Mahmud, setelah hampir tiga dekad menjadi ketua menteri di Sarawak, baru sekarang sedar kepentingan kajian sains sosial dalam perlaksanaan pelan pembangunan? Apatah lagi bagi projek yang begitu besar seperti projek empangan Bakun, apakah selama ini kajian impak sosial langsung tidak dititikberatkan?

Untuk membina empangan ini, lebih 10,000 orang penduduk asal terpaksa dipindahkan. Mereka dijanjikan penempatan baru yang lebih baik yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan asas dan dijamin peluang pekerjaan.

Pihak bertanggungjawab secara amnya merasakan mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk penduduk-penduduk ini. Maka mereka dengan sendirinya memutuskan di mana penduduk-penduduk ini dipindahkan. Tidak banyak usaha dilakukan untuk menyelami kegusaran yang timbul di kalangan penduduk-penduduk asal ini dan adakah penempatan baru ini sesuai dengan cara hidup mereka sebelumnya.

Cuma sekarang baru terdetik di fikiran pihak bertanggungjawab untuk mengkaji kembali pelan penempatan semula. Hal ini diakui sendiri oleh penasihat alam sekitar kerajaan negeri Sarawak, Dr. James Dawos Mamit. Beliau mengakui sudah ada sebilangan penduduk asal yang mengambil keputusan pulang ke penempatan asal mereka kerana tidak mampu menyesuaikan diri di penempatan baru yang disediakan. Mereka sanggup pulang walaupun menyedari mustahil untuk mereka tinggal di sana bila empangan Bakun dibuka nanti.

Masalah-masalah seperti ini timbul kerana kurangnya perhatian yang diberikan pada kajian sosio-ekonomi dan sosiologi yang objektif dan mendalam. Tidak mengapalah, mungkin Abdul Taib Mahmud dan kerajaan pimpinannya sudah sedar akan kesilapan mereka dan kini mahu memperbetulkannya. Atau mungkin ‘kesedaran’ ini hanya bersifat sementara menjelang berlangsungnya pilihanraya negeri tidak lama lagi?