Saturday 26 January 2013

Satu hari di taman permainan...

(Berikut adalah artikel saya yang diterbitkan di laman web Centre for Policy Initiatives pada 19 January 2013 di bawah tajuk 'Budak diherdik dengan panggilan 'keling bodoh')

Beberapa minggu yang lalu, saya telah membawa anak-anak ke taman permainan berhampiran tempat tinggal kami. Taman permainan itu agak luas. Di satu sudut, terdapat alatan permainan kanak-kanak – gelungsur, buaian, jongkang-jongket dan sebagainya – manakala di satu sudut lain terdapat tanah lapang yang walaupun tidak begitu luas, cukup untuk kanak-kanak lelaki bermain bolasepak.

Saya memang minat bolasepak dan suka melihat telatah kanak-kanak cuba mempamerkan skil masing-masing. Tatkala asyik memerhatikan mereka, saya baru sedar dalam kumpulan budak-budak lelaki sekitar 20 orang itu, terdapat seorang budak lelaki berbangsa India. Yang lain semuanya budak-budak Melayu.

Situasi sebegitu bukanlah ganjil sebenarnya. Memang kawasan perumahan itu majoriti penduduknya orang-orang Melayu. Yang ganjil dan amat memeranjatkan saya adalah sikap budak-budak Melayu terhadap budak India tunggal itu. Hampir kesemua mereka memanggilnya “budak keling”. Bila dia tersilap tendang, diherdik pula dengan panggilan “keling bodoh”. Budak India itu walau bagaimanapun, tetap bersemangat mahu terus bermain. Malangnya dia dipinggirkan. Tidak ada yang mahu menghantar bola kepadanya. Dia cuba juga mengejar sedaya-upaya namun terus dibuli budak-budak yang lain. Tidak cukup dengan itu, tidak putus-putus dia diherdik dengan kata-kata kesat dan menghina.

Budak-budak lelaki yang saya perhatikan hari itu semuanya masih kecil. Pada amatan saya, semuanya berumur bawah 15 tahun. Kerana itulah saya terperanjat dengan sikap mereka terutamanya kata-kata kesat yang keluar daripada mulut mereka. Persoalannya, bagaimana mereka mampu bersikap sedemikian?

Dalam bidang sosiologi, setiap kelakuan manusia dikaji berdasarkan rangkaian interaksi antara agensi-agensi masyarakat daripada yang paling kecil hingga yang paling besar. Individu itu sendiri adalah agensi yang paling kecil, diikuti dengan ibubapanya, adik-beradik, sanak-saudara, jiran-jiran, guru-guru, tokoh-tokoh dan idola masyarakat, dan akhirnya sesebuah masyarakat itu sendiri secara am.

Sukar untuk kita tentukan adakah budak-budak Melayu yang saya ceritakan di atas, sikap dan kelakuan menghina yang mereka tunjukkan itu adalah hasil pengaruh ibubapa atau ahli-ahli keluarga terdekat. Itu hanya boleh ditentukan melalui kajian mikro psikologi personaliti dan psikologi sosial. Namun kita boleh melihat kepada beberapa contoh kelakuan dan sikap di kalangan tokoh-tokoh masyarakat yang jikapun tidak banyak, pasti ada memberi pengaruh dan kesan.

Pada tahun 2007, ketika menghadiri sebuah program bersama pelajar-pelajar Malaysia di California, Amerika Syarikat, seorang menteri kabinet berbangsa Melayu telah dilaporkan mengeluarkan beberapa ungkapan yang dianggap menghina seorang pelajar berbangsa India. Dalam ucapannya, beliau menerangkan bagaimana pihak penjajah British membawa buruh India ke Tanah Melayu. Seraya berkata demikian, beliau memandang tepat ke arah seorang pelajar India di dalam dewan tersebut lalu berkata “that’s how we got Indians in Malaysia” (“kerana itulah di Malaysia ada orang-orang India”).

Kemudian, pada tahun 2010, timbul pula laporan bagaimana seorang pengetua sekolah menengah kebangsaan di Johor, ketika berucap dalam perhimpunan khas sempena perayaan Hari Kemerdekaan, dengan lantang berkata pelajar-pelajar Cina tidak diperlukan di sekolah itu. Dicanang beliau agar pelajar-pelajar Cina berpindah ke sekolah Cina atau pulang sahaja ke negara Cina. Kepada pelajar-pelajar India beragama Hindu pula beliau berkata, tali sembahyang yang dipakai di lengan dan di leher mereka umpama tali yang dipakai seekor anjing!

Dua contoh di atas adalah contoh kelakuan dan manifesti sikap yang ditonjolkan secara terbuka di khalayak ramai. Bayangkan apakah kata-kata yang mereka hemburkan dalam percakapan harian bersama ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan? Pengetua sekolah menengah itu misalnya, kalau begitulah sikap beliau ketika berucap dalam perhimpunan, bayangkan sikap beliau ketika berbual bersama guru-guru (yang majoritinya berbangsa Melayu) atau ketika memarahi pelajar-pelajar berbangsa Cina dan India di pejabatnya? Bayangkan juga bagaimana sikap beliau ini boleh mempengaruhi guru-guru lain yang masih muda dan pelajar-pelajar Melayu di sekolah berkenaan?

Merujuk kembali kepada kerangka sosiologi yang diterangkan tadi, tidak adil sebenarnya untuk kita menyalahkan individu-individu seperti pengetua sekolah ini semata-mata. Sikap dan kelakuan mereka juga dipengaruhi suasana atau individu-individu yang lebih besar kedudukannya dalam masyarakat. Dalam konteks negara kita, mereka yang paling berpengaruh dan yang paling besar hebahan kata-kata mereka adalah pemimpin-pemimpin politik kerajaan.

Polemik bangsa dan agama memang sudah sebati dengan politik di Malaysia. Agak menyedihkan namun tidak dapat dielakkan. Setiap parti dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili bangsa-bangsa tertentu semuanya mahu tampil garang mempertahankan hak masing-masing. UMNO dan PERKASA misalnya, tidak putus-putus berteriak memberi amaran agar jangan ada yang berani mempertikaikan hak-hak orang Melayu. Diiringi pula dengan liputan meluas media arus perdana dan akhbar-akhbar tempatan.

Selalunya pihak yang diberi amaran itu memang tidak disebut dengan jelas. Namun, siapa lagi ianya ditujukan jika tidak kepada orang-orang bukan Melayu di negara kita. Teringat saya bagaimana beberapa kenalan berbangsa Cina mengeluh apabila anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan takut untuk ke sekolah setelah terdengar ucapan-ucapan yang disampaikan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Mungkin pemimpin-pemimpin politik ini tidak sedar kesan perbuatan dan kata-kata mereka. Mereka menakut-nakutkan orang-orang bukan Melayu, dan kesannya lahirlah perasaan marah yang menyebabkan mereka tidak mahu lagi mengundi mana-mana parti dan individu yang bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Dari sudut yang lain pula, kesan kata-kata keras ini menyebabkan ramai orang-orang Melayu daripada segenap lapisan masyarakat menjadi sombong dan hilang rasa hormat terhadap bangsa-bangsa yang lain. Apa sahaja yang dilakukan pemimpin-pemimpin akan dijadikan teladan. Maka, ramai tidak lagi berasa segan menghina dan melemparkan kata-kata keras terhadap bangsa-bangsa lain kerana rasionalnya, “kalau pemimpin politik boleh, mengapa kita tidak boleh?”

Budak-budak lelaki Melayu yang saya perhatikan di taman permainan beberapa minggu yang lalu itu adalah salah satu hasil daripada rantaian interaksi pemimpin dan masyarakat ini. Adakah ini sikap bangsa Melayu yang ingin dipupuk pemimpin-pemimpin UMNO, PERKASA dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain?

Bukanlah tujuan artikel ini untuk menghentam orang-orang Melayu semata-mata. Sifat prejudis ada pada semua bangsa. Sebagai seorang yang berkemahiran sedikit berbahasa Cina, saya tahu bagaimana sebahagian orang-orang Cina menghina dan mempersendakan orang-orang Melayu. Namun, dalam konteks negara kita, orang-orang Melayu sebagai kumpulan majoriti lebih bertanggungjawab menunjukkan teladan yang baik. Tambahan pula, kita orang-orang Melayu beragama Islam dan ajaran Islam itu mengajar kita saling hormat-menghormati, bukan menabur dan menyemai perasaan benci.