Pepatah Cina ada menyebut: 'Yang menang jadi raja, yang kalah jadi penjahat' (chengzhe wei wang, baizhe wei kou). Pepatah ini sering digunakan dalam konteks penulisan sejarah. Sejarah sering ditulis pihak yang menang dalam perang merebut kuasa. Maka, yang menang itu diagung-agungkan dan yang kalah dicerca semahunya.
Lihat sahaja bagaimana Hang Tuah dan Hang Jebat digambarkan dalam 'Sejarah Melayu'. Hang Tuah diagung-agungkan sebagai wira menyelematkan Melaka dan Hang Jebat dicerca sebagai penderhaka yang kejam dan hina. Hang Jebat digambarkan seorang yang mabuk kuasa mengamuk menuntut bela atas kematian sahabat karibnya. Beliau dikatakan kebal kerana keris Taming Sari berada ditangannya. Maka Hang Jebat seorang sahaja sudah cukup untuk mengambil-alih istana Sultan Melaka.
Hakikatnya, Sejarah Melayu ditulis oleh penulis-penulis yang diupah pihak istana. Mana mungkin huraiannya adil dan saksama menggambarkan setiap tokoh dan peristiwa di Melaka. Hang Jebat misalnya dikatakan bertindak sendirian. Tidak ada yang lain yang menyokongnya.
Namun bila direnung secara rasional, adakah mungkin benar Jebat seorang mampu menundukkan semua hulubalang raja? Bala tentera kerajaan Melaka bukan hanya seorang dua. Malah dikatakan mencecah puluhan ribu jumlahnya. Takkan Hang Jebat begitu hebat sehingga mampu menewaskan kesemuanya?
Mungkinkah apa yang berlaku sebenarnya adalah perang saudara? Hang Jebat adalah ketua pihak pemberontak dan beliau disokong ribuan rakyat yang simpati dengan perjuangannya. Kumpulannya tewas maka Hang Jebat sebagai ketua dicerca dan dihina seolah-olah tidak ada seorang rakyat pun yang menyokongnya.
Tidak cukup dengan itu, Hang Jebat dituduh pula mengamuk, setelah ditikam Hang Tuah, membunuh ramai rakyat Melaka yang tidak berdosa. Sehebat manapun seorang pahlawan, mana mungkin setelah parah tertusuk keris di badan mengamuk tujuh hari tujuh malam membunuh ribuan manusia?
Mustahil pada saat ini untuk kita mengetahui apakah sebenarnya yang terjadi. Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat berlaku sudah sekian lama. Tidak ada sumber bukti yang sahih yang dapat memisahkan yang mana fakta dan yang mana rekaan semata-mata.
Namun dalam pengkajian sejarah kemerdekaan negara yang hanya separuh abad usianya, banyak sumber boleh diselidiki untuk menghasikan ulasan yang adil dan saksama. Misalnya, dalam mengkaji persoalan siapakah pejuang kemerdekaan negara, tidak mungkin hasilnya akan menjurus hanya pada Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan pemimipin Parti Perikatan yang lain?
Nama-nama seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mustapha Hussain dan ramai lagi, kenapa lenyap begitu sahaja dalam buku-buku teks sejarah rasmi negara?
Yang pasti, yang terawal berjuang ke arah kemerdekaan bukanlah golongan elit dan bangsawan Melayu yang menubuhkan Umno pada tahun 1946. Yang terlebih dahulu menyemai semangat merdeka adalah orang-orang kebanyakan seperti Ibrahim Yaakub, Ishak Haji Muhammad, Burhanuddian Al-Helmy dan Mustapha Hussain. Malangnya, kerana mereka bukanlah daripada golongan elit masyarakat Melayu yang berdamping dengan penjajah British, usaha mereka tidak berhasil.
Namun perjuangan dan pengorbanan mereka tidak sia-sia. Walaupun telah sekian lama tidak diberi penghormatan, kisah perjuangan mereka kini mula terserlah melalui buku-buku yang disadur dengan interpretasi sejarah yang berbeza daripada apa yang sering dihidangkan dalam buku-buku sejarah rasmi negara.
Peranan dan sumbangan Umno ke arah kemerdekaan memang tidak dinafikan. Namun hakikatnya, ketika Umno ditubuhkan pada tahun 1946, kemerdekaan Tanah Melayu bukan matlamat yang diperjuangkan. Umno ditubuhkan asalnya untuk menentang penubuhan Malayan Union. Yang ditentang adalah perlucutan kuasa raja-raja Melayu dan undang-undang yang memberikan hak kewargenegaraan kepada semua golongan imigran yang termaktub dalam gagasan Malayan Union yang dicadangkan.
Malah Umno dalam tempoh lima tahun pertama penubuhannya begitu berkeras tidak mahu membuka taraf kerakyatan kepada orang-orang Cina, India dan orang-orang bukan Melayu yang lain di Malaya. Pengasas dan Presiden Umno ketika itu, Dato' Onn Jaafar mulai sedar kemerdekaan akan hanya tercapai jika masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaya dapat bersatu dan bekerjasama. Namun usahanya untuk membuka keahlian Umno kepada kaum yang lain ditentang hebat, memaksa beliau meletak jawatan dan mengasaskan parti politik yang lain.
Dalam keadaan Umno yang masih terkial-kial dengan isu kerakyatan, sudah ada sebenarnya usaha untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaya di bawah satu suara untuk menuntut kemerdekaan. Usaha ini dipelopori pertubuhan-pertubuhan di bawah naungan Putera (Pusat Tenaga Rakyat) dan AMCJA (All-Malaya Council of Joint Action). Putera dipelopori Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diketuai Burhanuddin Al-Helmy dan disokong hebat masyarakat Melayu di luar bandar. AMCJA pula didokong kesatuan-kesatuan pekerja dan beberapa pertubuhan bukan Melayu yang lain.
Malangnya semua pertubuhan ini tidak mendapat restu pihak British. Alasan utamanya ialah semua pertubuhan ini berfahaman kiri dan dituduh bersekongkol dengan pihak komunis. Maka kewujudan dan pengaruh mereka menjadi ancaman besar kepada pihak British yang mahu memelihara kepentingan mereka sendiri. Semua pertubuhan haluan kiri ini diharamkan dan ramai pemimpin-pemimpin mereka ditahan. Penahanan mereka membuka laluan untuk Umno memimpin perjuangan ke arah kemerdekaan yang sebelum itu bukan matlamat asal yang diperjuangkan.
Buku-buku teks sejarah sekarang tidak banyak mengulas tentang kisah-kisah ini. Sejarah kemerdekaan negara dirumuskan dalam fakta-fakta ringkas yang disusun dalam bentuk carta dan gambarajah. Mana mungkin pelajar-pelajar sekarang mampu menyelami dan menghayati sejarah negara dengan kaedah pembelajaran seperti ini?
Namun inilah realitinya sekarang. Sejarah hanyalah satu matapelajaran yang memerlukan penghafalan 'fakta' sepertimana yang termaktub dalam buku-buku teks dan rujukan.
Saya berpendapat semua rakyat Malaysia perlu didedahkan dengan penulisan-penulisan sejarah yang berbeza. Bermula dari sekolah menengah, golongan muda perlu didedahkan dengan kisah-kisah perjuangan semua golongan dan kumpulan pejuang kemerdekaan termasuklah kisah perjuangan Kesatuan Melayu Malaya, PKMM, Putera, AMCJA, Umno dan Parti Komunis Malaya. Semua pertubuhan-pertubuhan ini telah menyumbang ke arah kemerdekaan.
Maka, selain daripada membaca kisah perjuangan tokoh-tokoh seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock, semua rakyat Malaysia perlu digalakkan juga memahami perjuangaan tokoh-tokoh lain seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mustapha Hussain, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Chin Peng dan lain-lain.
Antara tokoh-tokoh ini memang terdapat tokoh-tokoh komunis yang terlibat dalam pembunuhan dan keganasan. Namun keganasan sebenarnya tidak berlaku hanya di sebelah pihak. Dan pihak komunis tidak juga mengganas membabi buta tanpa sebab. Ada sejarahnya dan ada kisah di sebaliknya.
Fakta sejarah itu tidak semuanya hitam dan putih. Terdapat kisah dan interpretasi yang berbeza. Tidak salah untuk kita memihak kepada interpretasi yang tertentu, namun salah rasanya jika kita menafikan wujudnya interpretasi-interpretasi lain yang ada.
Secara peribadi saya percaya tatkala segala kisah perjuangan ini dirungkai dan dibahas, ramai yang akan bersetuju dengan kesimpulan bahawa kaedah yang diambil Tunku Abdul Rahman merupakan jalan terbaik untuk mencapai kemerdekaan. Tunku menuntut kemerdekaan daripada pihak British secara aman dan teratur.
Kebijaksaan Tunku berunding memastikan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dengan mewarisi sistem dan prasarana pentadbiran yang licin dan berkesan. Ini banyak menyumbang kepada kemajuan negara yang lebih pesat berbanding dengan bekas tanah jajahan British yang lain seperti Ghana, Nigeria, India dan Pakistan.
Namun dalam keghairahan kita memperingati jasa dan pengorbanan Tunku dan rakan-rakannya, janganlah diabaikan pengorbanan tokoh-tokoh yang lain. Janganlah dinafikan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini sedikit sebanyak adalah hasil perjuangan mereka juga.
Related article: 'Was Merdeka taken or was it given?' by Raja Petra Kamaruddin
Recommended short film: '10 Tahun Sebelum Merdeka' by Fahmi Reza