Friday, 12 November 2010

Diktator Berhati Mulia?

(Berikut adalah artikel saya yang diterbitkan di laman web Centre for Policy Initiatives pada 4 November 2010 di bawah tajuk 'Dr M dan Lee Kuan Yew ada persamaan mereka')

Bekas perdana menteri Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata antara tokoh zaman silam yang dikaguminya ialah pemerintah Rusia, Peter the Great, seorang Tsar yang memerintah Rusia selama lebih 40 tahun, dari tahun 1672 hingga 1725.

Kehebatan Peter the Great terletak pada kejayaannya memaju dan meluaskan empayar Rusia setaraf dengan empayar-empayar lain di benua Eropah. Di awal pemerintahannya, beliau banyak merantau meninjau kemajuan negara-negara Eropah Barat. Di Belanda misalnya, beliau mengkaji teknik pembinaan kapal dan pembangunan pelabuhan, dan di London beliau mengkaji pembangunan dan perancangan bandar. Hasilnya, pelabuhan dan armada tentera laut Rusia dimajukan dan bandar Saint Petersburg yang megah dan indah berjaya didirikan.

Kejayaan Peter the Great memang tidak dinafikan. Rusia sebelum dan selepas zaman pemerintahannya perbezaannya amat ketara. Jika sebelumnya Rusia lebih tertumpu pada budaya dan industri tradisi, Rusia pada zaman pemerintahan Peter the Great berubah menjadi sebuah empayar yang moden dan progresif. Pastinya banyak kemajuan yang dikecapi rakyat Rusia berpunca daripada kebijaksanaan raja mereka Peter the Great.

Semua kemajuan ini tercapai walaupun Peter the Great hakikatnya seorang pemimpin diktator yang zalim dan autokratik. Tidak ada sistem demokrasi di Rusia ketika itu. Tidak ada pilihanraya dan tidak ada kebebasan untuk bersuara. Barang siapa yang berani menentang akan dibunuh dan diseksa. Mayat mereka dipacak pada tiang agar rakyat dapat melihat nasib yang menimpa mereka yang berani menentang. Malah, sejarah telah merakamkan bagaimana Peter the Great sanggup menyeksa dan membunuh anak lelakinya sendiri yang ingkar mematuhi kemahuannya.

Bagi mereka yang mengagumi Peter the Great, segala kisah kezaliman ini barangkali tidak begitu penting. Yang lebih penting adalah kemajuan dan pembangunan negara. Penyeksaan dan pembunuhan dianggap asam garam pemerintahan. Matlamat mencapai kemajuan dan pemodenan itu yang lebih utama.

Dr. Mahathir baru-baru ini telah berkata, sistem pemerintahan diktator itu adakalanya baik untuk sesetengah negara. Yang penting, pemimpin diktator itu berhati mulia (benevolent dictator) dan mampu membawa kemajuan kepada rakyat di bawah pemerintahannya. Barangkali bagi Dr. Mahathir, Peter the Great adalah contoh utama seorang diktator yang berhati mulia.

Memang benar, pemimpin-pemimpin diktator dulu dan kini bukan semua tindakan mereka jahat dan kejam. Bahkan, ada yang nampak ikhlas mahu membantu rakyat jelata. Saddam Hussein misalnya, berjaya menaikkan taraf pendidikan rakyatnya di Iraq sehingga mencapai taraf yang tertinggi di Timur Tengah pada suatu ketika. Di Cuba pula, pemimpinnya Fidel Castro berjaya mengurangkan jurang kemiskinan di kalangan rakyat dan memastikan khidmat perubatan dan bantuan makanan diberikan kepada semua. Maka, mengapa masih ramai yang tidak mahu sistem pemerintahan diktator seperti ini?

Sistem ini ditentang kerana kuasa dipusatkan kepada seorang manusia biasa yang sedikit sebanyak pasti ada kelemahannya. Seorang pemimpin yang agung, tidak kira betapa tinggi akal dan wibawanya, pasti lambat laun akan lalai dengan kedudukannya. Semakin lama beliau memerintah, semakin tinggi beliau dipuja. Akhirnya tersematlah di fikiran beliau layak untuk terus menjadi ketua, dan dalam segala hal dan perkara beliaulah yang paling arif dan bijaksana. Maka rakyat kesemuanya hanya perlu tunduk dan patuh. Pandangan dan maklum balas tidak diperlukan.

Sistem demokrasi tidak mahu perkara sebegini terjadi. Dalam sistem ini, kuasa diberi pada rakyat untuk memilih dan menolak pemimpin. Pemimpin adalah hamba kepada rakyat, dan di tangan rakyat terletak segala kuasa. Jika pemimpin berjasa, beliau akan disanjung. Jika beliau mengkhianati amanah yang diberi, beliau akan dipaksa mengundur diri. Sistem demokrasi percaya bahawa pemimpin negara boleh ditukar ganti. Rakyat diberi ruang dan kebebasan untuk menegur dan mengkritik pemimpinnya dan pemimpin itu harus menerimanya dengan rela hati.

Tidak ada sebenarnya seorang diktator yang benar-benar berhati mulia. Kesemuanya bersalah menghukum individu-individu yang tidak bersetuju dengan kepimpinan mereka. Ratusan ribu rakyat Iraq misalnya telah menjadi mangsa kekejaman Saddam. Castro pula begitu banyak memenjarakan orang-orang yang mengkritik dan menentangnya.

Mungkin, contoh terbaik seorang diktator berhati mulia ialah Lee Kuan Yew, bekas perdana menteri Singapura. Singapura di bawah pemerintahannya melonjak dari sebuah pulau kecil yang mundur kepada sebuah kota kosmopolitan yang maju, aman dan makmur. Namun di sebalik kejayaan Lee, ada juga kisah-kisah orang yang disekat kebebasan mereka untuk bersuara. Ramai antara mereka pernah meringkuk di penjara.

Antara Dr. Mahathir dan Lee sebenarnya ada banyak persamaan. Kedua-dua tokoh ini misalnya percaya sistem demokrasi yang diamalkan di negara-negara maju di Barat tidak sesuai untuk negara-negara di rantau Asia. Negara-negara di Asia dikatakan mempunyai nilai-nilai murni yang tersendiri (Asian values) yang mencerminkan budaya dan keperluan masyarakat di rantau ini. Nilai-nilai murni ini termasuklah sifat taat dan setia kepada pemimpin yang tidak berbelah bagi. Dan sekiranya kebebasan bersuara diberikan dengan luas kepada semua, ianya akan mengancam keharmonian dan kestabilan negara.

Generasi muda sekarang ini tidak dapat menerima tanggapan sebegini. Ramai antara kami pernah belajar dan menetap di negara-negara Barat. Kami melihat sendiri bagaimana kebebasan bersuara di sana tidak mengakibatkan kehancuran negara dan masyarakat. Malah kami melihat bagaimana kebebasan itu mendesak pemimpin-pemimpin bertindak dengan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab. Pemimpin-pemimpin kerajaan datang dan pergi, namun negara tetap teguh berdiri. Tidak hancur sesebuah negara itu bilamana pemimpin kerajaan ditukar ganti.

Kami tidak mahu diktator yang berhati mulia kerana semua diktator itu sama sahaja. Semuanya bertindak mengikut kehendak dan buah fikiran mereka semata-mata. Walhal bukan dalam semua hal dan perkara pendapat mereka benar belaka. Dalam sesebuah negara, ada ramai yang berhati mulia. Mengapa perlu bergantung kepada seorang sahaja? Adakah hati seorang diktator berhati mulia itu lebih mulia dari semua seteru-seteru politiknya?

Di Malaysia misalnya, adakah pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional sahaja yang berhati mulia yang ikhlas mahu membangunkan negara? Pemimpin-pemimpin pembangkang bagaimana? Adakah semua mereka ini berhati busuk dan mahu menghancurkan negara? Dan, adakah semua mereka ini bodoh-bodoh belaka, tiada ilmu dan tiada keupayaan langsung untuk memimpin negara?

Kami bukannya mahu kebebasan mutlak yang membiarkan pemimpin-pemimpin, agama, kaum dan budaya dicerca dan dihina. Cukuplah sekadar ruang yang sedikit luas diberikan agar rakyat boleh meluahkan pendapat dengan jujur dan berhemah tanpa perlu merasa takut menerima hukuman. Zaman sekarang bukan lagi zaman feudal di mana segala titah dan buah fikiran raja dan pemimpin umpama wahyu yang diturunkan.

Memang menjadi lumrah pemimpin-pemimpin politik berbeza pendapat dan falsafah. Pertahankanlah pendapat dan falsafah masing-masing dengan jujur, telus dan matang. Biar rakyat yang menentukan mana yang menjadi pilihan. Tidak perlu seorang diktator berhati mulia yang menentukan.

Thursday, 30 September 2010

'Yang Menang Jadi Raja, Yang Kalah Jadi Penjahat'

(Berikut adalah artikel saya yang diterbitkan di laman web Centre for Policy Initiatives pada 23 September 2010 di bawah tajuk 'Umno menentang Malayan Union memberi kerakyatan kepada kaum minoriti')

Pepatah Cina ada menyebut: 'Yang menang jadi raja, yang kalah jadi penjahat' (chengzhe wei wang, baizhe wei kou). Pepatah ini sering digunakan dalam konteks penulisan sejarah. Sejarah sering ditulis pihak yang menang dalam perang merebut kuasa. Maka, yang menang itu diagung-agungkan dan yang kalah dicerca semahunya.

Lihat sahaja bagaimana Hang Tuah dan Hang Jebat digambarkan dalam 'Sejarah Melayu'. Hang Tuah diagung-agungkan sebagai wira menyelematkan Melaka dan Hang Jebat dicerca sebagai penderhaka yang kejam dan hina. Hang Jebat digambarkan seorang yang mabuk kuasa mengamuk menuntut bela atas kematian sahabat karibnya. Beliau dikatakan kebal kerana keris Taming Sari berada ditangannya. Maka Hang Jebat seorang sahaja sudah cukup untuk mengambil-alih istana Sultan Melaka.

Hakikatnya, Sejarah Melayu ditulis oleh penulis-penulis yang diupah pihak istana. Mana mungkin huraiannya adil dan saksama menggambarkan setiap tokoh dan peristiwa di Melaka. Hang Jebat misalnya dikatakan bertindak sendirian. Tidak ada yang lain yang menyokongnya.

Namun bila direnung secara rasional, adakah mungkin benar Jebat seorang mampu menundukkan semua hulubalang raja? Bala tentera kerajaan Melaka bukan hanya seorang dua. Malah dikatakan mencecah puluhan ribu jumlahnya. Takkan Hang Jebat begitu hebat sehingga mampu menewaskan kesemuanya?

Mungkinkah apa yang berlaku sebenarnya adalah perang saudara? Hang Jebat adalah ketua pihak pemberontak dan beliau disokong ribuan rakyat yang simpati dengan perjuangannya. Kumpulannya tewas maka Hang Jebat sebagai ketua dicerca dan dihina seolah-olah tidak ada seorang rakyat pun yang menyokongnya.

Tidak cukup dengan itu, Hang Jebat dituduh pula mengamuk, setelah ditikam Hang Tuah, membunuh ramai rakyat Melaka yang tidak berdosa. Sehebat manapun seorang pahlawan, mana mungkin setelah parah tertusuk keris di badan mengamuk tujuh hari tujuh malam membunuh ribuan manusia?

Mustahil pada saat ini untuk kita mengetahui apakah sebenarnya yang terjadi. Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat berlaku sudah sekian lama. Tidak ada sumber bukti yang sahih yang dapat memisahkan yang mana fakta dan yang mana rekaan semata-mata.

Namun dalam pengkajian sejarah kemerdekaan negara yang hanya separuh abad usianya, banyak sumber boleh diselidiki untuk menghasikan ulasan yang adil dan saksama. Misalnya, dalam mengkaji persoalan siapakah pejuang kemerdekaan negara, tidak mungkin hasilnya akan menjurus hanya pada Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan pemimipin Parti Perikatan yang lain?

Nama-nama seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mustapha Hussain dan ramai lagi, kenapa lenyap begitu sahaja dalam buku-buku teks sejarah rasmi negara?

Yang pasti, yang terawal berjuang ke arah kemerdekaan bukanlah golongan elit dan bangsawan Melayu yang menubuhkan Umno pada tahun 1946. Yang terlebih dahulu menyemai semangat merdeka adalah orang-orang kebanyakan seperti Ibrahim Yaakub, Ishak Haji Muhammad, Burhanuddian Al-Helmy dan Mustapha Hussain. Malangnya, kerana mereka bukanlah daripada golongan elit masyarakat Melayu yang berdamping dengan penjajah British, usaha mereka tidak berhasil.

Namun perjuangan dan pengorbanan mereka tidak sia-sia. Walaupun telah sekian lama tidak diberi penghormatan, kisah perjuangan mereka kini mula terserlah melalui buku-buku yang disadur dengan interpretasi sejarah yang berbeza daripada apa yang sering dihidangkan dalam buku-buku sejarah rasmi negara.

Peranan dan sumbangan Umno ke arah kemerdekaan memang tidak dinafikan. Namun hakikatnya, ketika Umno ditubuhkan pada tahun 1946, kemerdekaan Tanah Melayu bukan matlamat yang diperjuangkan. Umno ditubuhkan asalnya untuk menentang penubuhan Malayan Union. Yang ditentang adalah perlucutan kuasa raja-raja Melayu dan undang-undang yang memberikan hak kewargenegaraan kepada semua golongan imigran yang termaktub dalam gagasan Malayan Union yang dicadangkan.

Malah Umno dalam tempoh lima tahun pertama penubuhannya begitu berkeras tidak mahu membuka taraf kerakyatan kepada orang-orang Cina, India dan orang-orang bukan Melayu yang lain di Malaya. Pengasas dan Presiden Umno ketika itu, Dato' Onn Jaafar mulai sedar kemerdekaan akan hanya tercapai jika masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaya dapat bersatu dan bekerjasama. Namun usahanya untuk membuka keahlian Umno kepada kaum yang lain ditentang hebat, memaksa beliau meletak jawatan dan mengasaskan parti politik yang lain.

Dalam keadaan Umno yang masih terkial-kial dengan isu kerakyatan, sudah ada sebenarnya usaha untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaya di bawah satu suara untuk menuntut kemerdekaan. Usaha ini dipelopori pertubuhan-pertubuhan di bawah naungan Putera (Pusat Tenaga Rakyat) dan AMCJA (All-Malaya Council of Joint Action). Putera dipelopori Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diketuai Burhanuddin Al-Helmy dan disokong hebat masyarakat Melayu di luar bandar. AMCJA pula didokong kesatuan-kesatuan pekerja dan beberapa pertubuhan bukan Melayu yang lain.

Malangnya semua pertubuhan ini tidak mendapat restu pihak British. Alasan utamanya ialah semua pertubuhan ini berfahaman kiri dan dituduh bersekongkol dengan pihak komunis. Maka kewujudan dan pengaruh mereka menjadi ancaman besar kepada pihak British yang mahu memelihara kepentingan mereka sendiri. Semua pertubuhan haluan kiri ini diharamkan dan ramai pemimpin-pemimpin mereka ditahan. Penahanan mereka membuka laluan untuk Umno memimpin perjuangan ke arah kemerdekaan yang sebelum itu bukan matlamat asal yang diperjuangkan.

Buku-buku teks sejarah sekarang tidak banyak mengulas tentang kisah-kisah ini. Sejarah kemerdekaan negara dirumuskan dalam fakta-fakta ringkas yang disusun dalam bentuk carta dan gambarajah. Mana mungkin pelajar-pelajar sekarang mampu menyelami dan menghayati sejarah negara dengan kaedah pembelajaran seperti ini?

Namun inilah realitinya sekarang. Sejarah hanyalah satu matapelajaran yang memerlukan penghafalan 'fakta' sepertimana yang termaktub dalam buku-buku teks dan rujukan.

Saya berpendapat semua rakyat Malaysia perlu didedahkan dengan penulisan-penulisan sejarah yang berbeza. Bermula dari sekolah menengah, golongan muda perlu didedahkan dengan kisah-kisah perjuangan semua golongan dan kumpulan pejuang kemerdekaan termasuklah kisah perjuangan Kesatuan Melayu Malaya, PKMM, Putera, AMCJA, Umno dan Parti Komunis Malaya. Semua pertubuhan-pertubuhan ini telah menyumbang ke arah kemerdekaan.

Maka, selain daripada membaca kisah perjuangan tokoh-tokoh seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock, semua rakyat Malaysia perlu digalakkan juga memahami perjuangaan tokoh-tokoh lain seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mustapha Hussain, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Chin Peng dan lain-lain.

Antara tokoh-tokoh ini memang terdapat tokoh-tokoh komunis yang terlibat dalam pembunuhan dan keganasan. Namun keganasan sebenarnya tidak berlaku hanya di sebelah pihak. Dan pihak komunis tidak juga mengganas membabi buta tanpa sebab. Ada sejarahnya dan ada kisah di sebaliknya.

Fakta sejarah itu tidak semuanya hitam dan putih. Terdapat kisah dan interpretasi yang berbeza. Tidak salah untuk kita memihak kepada interpretasi yang tertentu, namun salah rasanya jika kita menafikan wujudnya interpretasi-interpretasi lain yang ada.

Secara peribadi saya percaya tatkala segala kisah perjuangan ini dirungkai dan dibahas, ramai yang akan bersetuju dengan kesimpulan bahawa kaedah yang diambil Tunku Abdul Rahman merupakan jalan terbaik untuk mencapai kemerdekaan. Tunku menuntut kemerdekaan daripada pihak British secara aman dan teratur.

Kebijaksaan Tunku berunding memastikan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dengan mewarisi sistem dan prasarana pentadbiran yang licin dan berkesan. Ini banyak menyumbang kepada kemajuan negara yang lebih pesat berbanding dengan bekas tanah jajahan British yang lain seperti Ghana, Nigeria, India dan Pakistan.

Namun dalam keghairahan kita memperingati jasa dan pengorbanan Tunku dan rakan-rakannya, janganlah diabaikan pengorbanan tokoh-tokoh yang lain. Janganlah dinafikan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini sedikit sebanyak adalah hasil perjuangan mereka juga.

Related article: 'Was Merdeka taken or was it given?' by Raja Petra Kamaruddin

Recommended short film: '10 Tahun Sebelum Merdeka' by Fahmi Reza

Saturday, 21 August 2010

Kepentingan Kajian Sains Sosial

(Berikut adalah artikel saya yang diterbitkan di laman web Centre for Policy Initiatives pada 12 Ogos 2010 di bawah tajuk 'Masalah kurang kajian dan pribumi pulang ke Bakun')

Sejak beberapa dekad yang lalu, kita ghairah menggalak pelajar-pelajar mengambil jurusan sains tulen. Hasrat kerajaan ialah untuk melahirkan jurutera-jurutera dan saintis-saintis tempatan untuk memacu pertumbuhan industri berat dan teknologi tinggi di dalam negara.

Bilamana tumpuan lebih diberikan pada bidang kejuruteraan, sains komputer, fizik dan pelbagai bidang sains tulen yang lain, jurusan sains sosial kurang diberi perhatian, walhal peranannya dalam perancangan dasar dan pelan pembangunan seharusnya tidak diabaikan.

Mengkaji kesan pembangunan kepada masyarakat adalah tugas dan bidang ahli-ahli sains sosial. Seorang ahli sosiologi misalnya akan mengkaji perihal kesan pembangunan kepada institusi keluarga, masalah sosial, kesejahteraan penduduk, taraf pendidikan dan kesihatan masyarakat.

Kajian-kajian yang dilakukan penting bagi merangka polisi kerajaan yang menjurus ke arah pembangunan yang lebih seimbang. Memang menjadi hasrat ahli-ahli sains sosial agar hasil kajian saintifik dijadikan asas pertimbangan bilamana sesuatu dasar yang baru dan projek pembangunan ingin dilaksanakan.

Maka sebagai seorang ahli seumur hidup Persatuan Sains Sosial Malaysia, saya menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud baru-baru ini yang mengiktiraf peranan sains sosial dalam merancang pembangunan.

Ketika berucap pada satu majlis pertemuan dengan pelajar-pelajar dari Sarawak di London pada 26 Julai yang lalu, Abdul Taib Mahmud dilaporkan telah menyebut bahawa adalah penting bagi kerajaan negeri mencapai persefahaman dengan masyarakat Penan dan kaum-kaum asal yang lain tentang penempatan baru bagi mereka yang terpaksa dipindahkan kerana pembinaan projek hydro di negeri tersebut. Di sinilah, menurut beliau, sumbangan dan kemahiran ahli-ahli sains sosial amat diperlukan.

Pakar-pakar dalam bidang sains sosial memang boleh banyak menyumbang. Sebaik-baiknya, setiap kali sebelum suatu dasar atau projek pembangunan itu diluluskan, perlu dijalankan kajian impak sosial polisi dan projek berkenaan. Perlu ditekankan di sini, kajian-kajian sepatutnya dijalankan sebelum, bukan sahaja, selepas perlaksanaan.

Inilah yang sering menjadi masalah. Kajian-kajian sosial yang neutral dan saintifik tidak dijadikan asas pertimbangan. Yang lebih diutamakan adalah pendapat dan pendirian peribadi perdana menteri, ketua menteri atau menteri yang bertanggungjawab.

Lihat saja pada kronologi bagaimana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan. Idea asal dasar ini datang dari perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Seterusnya dibawa ke persidangan Pemuda Umno untuk didebatkan. Tidak lama selepas itu dibawa ke mesyuarat kabinet dan kemudiannya terus diluluskan.

Tidak diketahui samada ada kajian dijalankan untuk meramal kesan jangka pendek dan jangka panjang dasar berkenaan. Tidak diketahui juga samada kajian terperinci telah dijalankan untuk mengukur samada guru-guru yang sedia-ada sudah cukup terlatih untuk melaksanakan PPSMI.

Nyata sekali kajian-kajian seperti ini tidak dianggap penting. Yang penting ialah pendapat dan keputusan perdana menteri dan mesyuarat kabinet. Selain daripadanya dianggap butiran yang boleh ditangani kemudian.

Proses yang sama kini sudah kelihatan dalam perbincangan usul Kementerian Pelajaran untuk menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Idea asal datang dari Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran. Memang ada beberapa perbincangan meja-bulat diadakan. Namun, sepertimana yang berlaku sebelum dasar PPSMI dilaksanakan, kerajaan nampaknya sudah jelas menjurus ke arah penghapusan kedua-dua peperiksaan berkenaan.

Badan-badan dan pertubuhan yang mewakili guru-guru dan ibubapa sudah menyuarakan bantahan, namun ini nampaknya tidak begitu diendahkan. Ramai pihak menuntut agar apa jua keputusan yang diambil perlu dibuat berdasarkan hasil kajian saintifik yang telus dan mendalam. Sekali lagi, tuntutan ini tidak dianggap penting dan tidak dilayan.

Agak aneh juga memikirkan adakah Abdul Taib Mahmud, setelah hampir tiga dekad menjadi ketua menteri di Sarawak, baru sekarang sedar kepentingan kajian sains sosial dalam perlaksanaan pelan pembangunan? Apatah lagi bagi projek yang begitu besar seperti projek empangan Bakun, apakah selama ini kajian impak sosial langsung tidak dititikberatkan?

Untuk membina empangan ini, lebih 10,000 orang penduduk asal terpaksa dipindahkan. Mereka dijanjikan penempatan baru yang lebih baik yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan asas dan dijamin peluang pekerjaan.

Pihak bertanggungjawab secara amnya merasakan mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk penduduk-penduduk ini. Maka mereka dengan sendirinya memutuskan di mana penduduk-penduduk ini dipindahkan. Tidak banyak usaha dilakukan untuk menyelami kegusaran yang timbul di kalangan penduduk-penduduk asal ini dan adakah penempatan baru ini sesuai dengan cara hidup mereka sebelumnya.

Cuma sekarang baru terdetik di fikiran pihak bertanggungjawab untuk mengkaji kembali pelan penempatan semula. Hal ini diakui sendiri oleh penasihat alam sekitar kerajaan negeri Sarawak, Dr. James Dawos Mamit. Beliau mengakui sudah ada sebilangan penduduk asal yang mengambil keputusan pulang ke penempatan asal mereka kerana tidak mampu menyesuaikan diri di penempatan baru yang disediakan. Mereka sanggup pulang walaupun menyedari mustahil untuk mereka tinggal di sana bila empangan Bakun dibuka nanti.

Masalah-masalah seperti ini timbul kerana kurangnya perhatian yang diberikan pada kajian sosio-ekonomi dan sosiologi yang objektif dan mendalam. Tidak mengapalah, mungkin Abdul Taib Mahmud dan kerajaan pimpinannya sudah sedar akan kesilapan mereka dan kini mahu memperbetulkannya. Atau mungkin ‘kesedaran’ ini hanya bersifat sementara menjelang berlangsungnya pilihanraya negeri tidak lama lagi?