Thursday, 4 March 2010

Islamisasi dan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam

Dalam ceramah-ceramah kempen pilihanraya anjuran Parti Tindakan Demokratik (DAP), antara hujah yang sering dikemukan untuk menggesa pengundi bukan Melayu supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN) ialah apa yang disifatkan mereka sebagai dasar Islamisasi kerajaan BN yang keterlaluan. Maka, dicanangkanlah kata-kata seperti "semua undi pada MCA adalah undi pada UMNO dan tanda sokongan terhadap dasar Islamisasi kerajaan".

Proses Islamisasi di Malaysia sangat sinonim dengan zaman pemerintahan Dr. Mahathir. Berbeza dengan perdana menteri sebelumnya, Dr. Mahathir sering disebut sebagai perdana menteri Malaysia pertama yang konsisten amalan agamanya dan tidak terpaut pemikirannya dengan ideologi pemisahan agama dalam urusan politik dan negara. Oleh yang demikian, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam agensi-agensi kerajaan diperkenalkan Dr. Mahathir sejak dari awal pemerintahannya.

Mungkin agak terlalu optimis untuk kita menganggap Dr. Mahathir sebagai pelopor gerakan Islamisasi di Malaysia yang ikhlas dalam perjuangan menegakkan syiar Islam. Keikhlasan itu sedikit sebanyak pasti ada dalam lubuk hatinya namun tidak dapat diabaikan juga kemungkinan inisiatif Dr. Mahathir ini lebih bersifat reaktif kepada situasi sosio-agama di dalam dan luar negara pada ketika itu.

Di peringkat antarabangsa, peristiwa yang menjadi pemangkin pada kebangkitan gerakan Islamisasi di seluruh dunia tidak syak lagi adalah revolusi Islam di Iran pada tahun 1979. Sebelum itu juga, bibit-bibit kebangkitan ini terserlah hasil pengaruh perjuangan kumpulan Ikhwanul Muslimin di Timur Tengah dan penyebaran meluas tulisan-tulisan pemikir Islam seperti Hassan Al-Banna, Sayyid Qutb dan Sayyid Abul A’la Mawdudi.

Dari situasi ini, di Malaysia lahirlah pertubuhan-pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang didokongi golongan muda. Dan pemimpin mereka yang paling lantang dan yang paling terkenal sepanjang tahun 1970-an tidak lain dan tidak bukan ialah Anwar Ibrahim.

Telah ditakdirkan, walaupun sebelumnya beliau kuat mengkritik kerajaan, Anwar Ibrahim akhirnya menyertai UMNO pada tahun 1982 hasil pujukan dan pelawaan Dr. Mahathir yang baru mengambil-alih tampuk pemerintahan pada ketika itu. Teori penyertaan Anwar ke dalam UMNO masih dibahaskan hingga ke hari ini. Yang sering didesas-desuskan adalah janji Dr. Mahathir memberi mandat kepada Anwar untuk menggerakkan proses Islamisasi dalam kerajaan daripada pelbagai sudut dan bidang.

Maka lahir dan berkembanglah insitusi perbankan Islam, institusi pengajian tinggi Islam dan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Di Sektor Awam hasil usahasama Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim. Hingga kini, Malaysia dikenali serata dunia sebagai penggerak utama perbankan dan produk-produk kewangan Islam. Dan dalam bidang pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kekal dengan imejnya di dalam dan di luar negara sebagai insitusi pengajian tinggi Islam yang progresif dan moden.

Proses Islamisasi dalam institusi perbankan dan institusi pengajian tinggi tidak banyak mengundang kontroversi. Yang menjadi kontroversi ialah bila ianya menyusup ke sektor awam terutamanya dalam sistem pendidikan kebangsaan. Lebih menyulitkan lagi bilamana proses ini dianggap berselindung di sebalik agenda politik untuk menarik undi and sokongan pengundi-pengundi Melayu. Lantas, proses Islamisasi ini dilihat ramai orang bukan Islam sebagai tidak lebih dari usaha UMNO untuk mengekang pengaruh PAS di kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Akibat daripada pertandingan 'siapa yang lebih Islamik' antara UMNO dan PAS ini, pelbagai polemik dan polisi agama diketengahkan tanpa mengambil kira pandangan dan reaksi masyarakat bukan Islam di Malaysia. Di sekolah-sekolah kebangsaan, pendidikan agama Islam diberi lebih penekanan. Bacaan doa setiap hari dan ceramah agama semasa perhimpunan mingguan diperkenalkan di banyak sekolah-sekolah. Adakalanya, majlis sambutan perayaan agama seperti Ma'al Hijrah dan Maulidur-Rasul juga diadakan semasa perhimpunan mingguan di mana semua pelajar-pelajar bukan Islam turut serta secara paksa-rela.

Sebagai orang Islam, saya tidak punya masalah dengan kekerapan aktiviti-aktiviti agama di sekolah-sekolah. Saya sendiri pernah menjadi pembaca doa dan menyampaikan pidato agama dalam perhimpunan mingguan walaupun sekolah saya di Petaling Jaya ketika itu hampir separuh pelajar-pelajarnya adalah pelajar-pelajar bukan Melayu dan bukan Islam. Tidak terlintas di fikiran yang rakan-rakan bukan Islam saya di sekolah mungkin tidak selesa dengan aktiviti-aktiviti agama yang dijalankan.

Namun kini saya menyedari perasaan kurang senang jelas tersemat di hati mereka terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang kesannya jelas kelihatan sekarang ini. Sejak awal 1990-an, kebanyakan ibubapa Cina tidak lagi memilih menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Walaupun terpaksa membayar kos perbelanjaan yang lebih tinggi, lebih 90 peratus ibubapa-ibubapa Cina memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina. Fenomena ini jelas memberi kesan yang agak negatif kepada keharmonian hubungan antara kaum Melayu dan Cina.

Melihat akan situasi ini, patutkah proses dan dasar Islamisasi kerajaan dipersalahkan?

Jika dilihat secara objektif, fenomena kebangkitan kesedaran agama tidak berlaku di Malaysia sahaja dan tidak juga hanya melibatkan penganut agama Islam. Di kalangan umat Islam, kebangkitan agama berlaku di hampir semua negara-negara Islam dari Maghribi hinggalah ke Indonesia, dan turut berlaku di kalangan masyarakat minoriti Muslim di negara-negara Barat.

Di kalangan penganut Hindu di India, fenomena kebangkitan agama berkembang begitu kuat sehingga tertabalnya kerajaan fundamentalis Hindu pada tahun 1998. Di Amerika pula, fenomena ini melibatkan perkembangan kumpulah-kumpulan fundamentalis Kristian yang cukup berpengaruh dalam parti Republikan di sana. Secara amnya, sejak beberapa dekad yang lalu, pengaruh ideologi sekularisme sudah sedikit berkurangan hasil kebangkitan pengaruh agama dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Jadi, apa yang berlaku di Malaysia bukanlah suatu yang unik. Namun, ianya tidak juga boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa diambil sebarang tindakan.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, perlu ada persefahaman yang melibatkan usaha dan pengorbanan daripada semua pihak. Saya masih tidak menganggap bacaan doa yang tidak pun memakan masa lebih dari lima minit dalam perhimpunan mingguan di sekolah-sekolah sebagai satu masalah. Namun saya bersetuju, tidak sesuai sekiranya waktu perhimpunan itu yang melibatkan semua pelajar Islam dan bukan Islam digunakan untuk ceramah agama dan majlis perayaan Maulidur-Rasul dan Ma'al Hijrah. Pihak sekolah seharusnya boleh mengatur program pada waktu yang lain khas bagi pelajar-pelajar Islam untuk majlis-majlis berkenaan.

Masyarakat Islam di Malaysia, walaupun benar merupakan golongan majoriti di sini, perlu juga mengambil berat perasaan dan sensitiviti golongan minoriti. Begitu juga bagi masyarakat bukan Islam yang perlu mengambil tahu sensitiviti dan pegangan hidup orang-orang Islam.

Saya kurang bersetuju dengan pendapat yang menganggap penyelesaian pada cabaran ini adalah pendekatan Islam yang sekular dan liberal. Masyarakat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia amnya tidak dapat menerima fahaman dan pendekatan sekularisme yang memupuk pemisahan amalan agama dalam urusan kerja. Umat Islam menganggap ajaran Islam itu sebagai satu cara hidup yang mempengaruhi segala kegiatan dan tingkah laku. Maka, jika ada sebarang desakan atau paksaan agar amalan agama dikesampingkan, ramai orang Islam pasti akan memberontak dan menentang.

Bagi fahaman Islam liberal pula, sekiranya fahaman ini bermaksud kesederhanaan dan keterbukaan hingga ke tahap penerimaan terhadap perbuatan-perbuatan terlarang seperti hubungan seks luar nikah, amalan homoseksual dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam, majoriti umat Islam pastinya akan menolak dan menentangnya juga. Namun, sekiranya fahaman ini lebih menjurus kepada keterbukaan dari segi kesediaan untuk berdialog dan berdebat secara ilmiah isu-isu fekah semasa, ramai yang boleh menerimanya sebagai salah satu usaha menangangi cabaran Islam di zaman moden.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada pilihanraya umum yang lalu tampil dengan slogannya 'PAS Untuk Semua'. Memang mudah berslogan namun untuk direalisasikan perlu perbincangan menyeluruh yang melibatkan pemimpin-pemimpin dan ilmuwan-ilmuwan Islam dan bukan Islam agar persefahaman dapat dibentuk dan kata sepakat dapat dicapai. Saya yakin dan percaya, ada jalan dan caranya agar dasar Islamisasi dapat diteruskan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam tanpa perlu menyinggung perasaan dan membangkitkan penentangan daripada masyarakat bukan Islam di Malaysia.

(Artikel ini telah dipaparkan di laman web Centre for Policy Initiatives. Klik di sini untuk melihat arikel asal)

5 comments:

Anonymous said...

ulasan yg baik walau pun agak simplistik. mahathir itu mmg bergeliga otaknya tahu macamana nak meneutralkan pas.. Islamisasi di uia skrg macamana....?

Anonymous said...

Malaysia tidak terkecuali dalam menerima tempias gelombang gerakan Islamisasi yang bermula di Tehran pada tahun 1979.
Peluang ini dipergunakan secara maksimum oleh seorang anak muda yang terserlah sinar politiknya dikala era 70-an,Anwar Ibrahim untuk mempertingkatkan profil politiknya dengan menubuhkan ABIM dan mempopularkan gerakan berunsur Islam di Malaysia.
Di sinilah bermulanya persepsi umum terhadap Anwar sebagai ahli politik yang berimej Islam.Sebelum Revolusi Iran,Anwar merupakan seorang yang lantang memperjuangkan isu-su kedaifan dan kemiskinan.Ketika itu beliau sedang menuntut di Universiti Malaya.
Selepas menyertai UMNO, beliau merupakan seorang yang jaguh dalam memperjuangkan hak orang Melayu.Ketika krisis matawang yang melanda Asia pada tahun 1997/1998,ekonomi negara-negara serantau jatuh dengan mendadak.Peristiwa tersebut menyaksikan berlaku pertukaran pucuk pimpinan secara paksaan bagi pemimpin yang telah lama berada di tampuk kuasa.Ini dapat dilihat seperti apa yang berlaku kepada Suharto di Indonesia.
Anwar melihat ini sebagai salah satu peluang untuknya melakukan apa yang berlaku di Indonesia kepada Malaysia.Ketika perhimpunan tahunan agung UMNO, beliau menghamburkan kritikan secara terbuka terhadap penyelewangan dan rasuah yang berlaku dalam pentadbiran Mahathir. Mahathir melihat ini sebagai satu gerakan secara halus untuk menggulingkannya.Hasilnya, Datuk Seri Anwar menerima habuannya beberapa bulan kemudian.
Setelah dibebaskan dari penjara,beliau memperjuangkan pula tentang kesama-rataan tanpa mengira kaum di Malaysia dan layanan yang adil perlu diberikan kepada penduduk bukan Melayu.
Di sini kita dapat melihat Anwar Ibrahim sebagai seorang ahli politik yang amat bijak dan sensitif terhadap trend politik semasa. Beliau juga cepat dalam menghidu peluang dalam memperkembangkan karier politiknya.
Walaupun penulisan ini agak kurang relevan dengan penulisan saudara, apa yang ingin saya sampaikan hanyalah untuk mendedahkan individu yang memainkan peranan yang amat besar dalam gerakan Islamisasi di Malaysia ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir.
Dengan memujuk Anwar menyertai UMNO,proses Islamisasi dalam pentadbiran kerajaan menjadi mudah dan efisen kerana Anwar sangat popular dengan imej Islamnya.
Proses Islamisasi tersebut bukannya bertujuan untuk meneutralkan PAS sepert komen yang tertera di atas tetapi gerakan tersebut amat popular di serata dunia ketika itu.
Kebangkitan Islam heboh diperkatakan di sana-sini.Gelombang tersebut perlu dimanipulasi dengan sebaik-baiknya jika ingin meraih sokongan dan Dr.Mahathir menggunakan peluang tersebut dengan proses Islamisasi yang diperkenalkannya untuk mendapatkan mandat rakyat terhadap kerajaan setahun jagungnya.
Perkara yang sama juga terjadi di China dengan rusuhan berdarah yang berlaku di dataran Tianmen diawal tahun 90an.Ianya berlaku hasil daripada peristiwa kejatuhan Komunis Soviet dan penyatuan Jerman timur dan barat.Kesannya, gelombang demokrasi melanda dunia dan penduduk China tidak terkecuali. Mereka berarak di jalan-jalan raya melaungkan demokrasi dan mengutuk komunisme.
Ini menunjukkan betapa para pemimpin tidak boleh memandang enteng akan apa yang berlaku di negara lain.Kesannya mampu menggugat kestabilan poltik dalam sesebuah negara.

Zaki Samsudin said...

Anon 11:08 PM, 8 March 2010,
Terima kasih atas komen saudara/i. Dr.Mahathir memang bijak menyusun percaturan politik. Islamisasi di UIA kini kian bercambah dengan pelbagai diskusi dan forum anjuran semua kulliyyah2 termasuklah di kulliyyah engineering dan kulliyyah architecture. Maka, saya optimistik melihat lebih banyak penerbitan dalam isu ini dalam masa terdekat.

Anon 7:01 PM, 10 March 2010,
Terima kasih atas komen saudara/i. Saya bersetuju dengan gambaran yang diberikan tentang sejarah perkembangan Islamisasi di Malaysia dan metamaforsis ideologi politik Anwar Ibrahim. Kebolehan Anwar merubah retorik politiknya mengikut aliran semasa adalah kekuatan dan juga kelemahannya pada masa yang sama. Kalau dilihat secara positif, Anwar boleh dianggap sebagai seorang tokoh yang faham dan arif akan keperluan semasa. Namun pada masa yang sama jika dipandang dari sudut yang negatif, Anwar tampak seakan-akan tidak punya pendirian. Walau apapun, biarpun kemungkinan besar Anwar tidak akan menjadi perdana menteri Malaysia, nama beliau akan terus tercatat sebagai antara individu yg paling berpengaruh dalam sejarah politik negara.

Dreamer said...

one way to 'islamicize' Malaysia might just be to practice the rules based on the Islamic teachings... wihout actually telling people that its being implemented. I mean, it is really2 fair, and since people get the wrong idea every time (even among muslims)... so why not just do it... :) Then when it clearly shows to be fair do we tell the world that Malaysia is indeed practicisng Islamic law :D

- yes yes, i know this is a very2 big oversimplification and in most parts, illogical. But a guy can dream can't he ...

Zaki Samsudin said...

Dreamer,

The scenario you'd described is certainly possible. I do believe that we have become quite obsessed with labels and slogans. As you said, why not do it first and put on the label later.

Thanks for dropping by.