Sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor minggu ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zaid Ibrahim diserang pelbagai tohmahan berkenaan cara hidup dan keperibadiannya. Moral dan akhlaknya dipersoalkan. Beliau dikatakan seorang kaki minum dan kaki judi yang tidak layak diangkat sebagai pemimpin orang-orang Melayu dan Islam.
Serangan peribadi atau pembunuhan karakter (character assasination) seperti ini mempunyai sejarah yang cukup panjang dalam dunia politik bukan sahaja di Malaysia bahkan di serata dunia. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman pernah menjadi sasaran kritikan seperti Zaid Ibrahim. Beliau juga dikatakan meminum arak dan berjudi, namun bilamana isu ini dibangkitkan di parlimen, beliau dengan lantang mencabar: "ahli-ahli parlimen yang tidak pernah melakukan dosa, sila berdiri!" Kata-kata itu cukup untuk meredakan serangan peribadi ke atas dirinya.
Pembunuhan karakter terbesar dalam sejarah politik negara tidak syak lagi merujuk kepada apa yang berlaku pada Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Beliau yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri sebelumnya terkenal dengan imej Islamik dan tatasusila yang tinggi. Tidak semena-mena muncul bukan satu atau dua tapi lima puluh 'dalil' mengapa Anwar Ibrahim tidak boleh menggantikan Dr. Mahathir sebagai perdana menteri. 'Dalil-dalil' yang tersenarai melibatkan antaranya skandal seks dengan pelacur-pelacur luar negara, hubungan seks sejenis, hubungan seks dengan isteri orang lain, namanya yang membawa maksud peperangan (An'WAR'), dan banyak lagi.
Serangan peribadi seperti ini tidak menyasar kepada isu-isu utama politik dan kerajaan. Ianya lebih bertujuan untuk melemahkan mangsa secara psikologikal dan melunturkan imejnya pada kacamata masyarakat. Kempen negatif seperti ini pastinya jauh lebih mudah direncanakan berbanding dengan kempen positif yang memerlukan daya fikir dan intektual yang lebih.
Namun, walaupun ianya mudah dilaksanakan, adakah ianya sering membuahkan hasil yang diharapkan?
Pada tahun 1863, Perdana Menteri Britain Lord Palmerston didakwa terlibat dalam skandal seks dengan seorang wanita yang sudah berkahwin. Ramai di kalangan penyokong-penyokong parti pembangkang menganggap skandal ini akan meruntuhkan populariti Lord Palmerston dan menyebabkan beliau kecundang pada pilihanraya umum seterusnya. Tetapi, lain pula yang berlaku.
Populariti Lord Palmerston kian bertambah dan beliau dipilih semula sebagai perdana menteri selepas pilihanraya umum Britain pada tahun 1865. Beliau yang ketika itu sudah pun menjangkau umur 78 tahun dianggap ramai rakyat Britain sebagai masih mampu dan bertenaga untuk melaksanakan tugas sebagai perdana menteri. Jika tidak, mana mungkin beliau pada usia sebegitu masih mampu membuat hubungan dengan wanita lain!? Rasional yang agak pelik namun itulah yang berlaku.
Kesan yang agak sama dapat dilihat dalam kes Anwar Ibrahim berdasarkan pada apa yang berlaku pada Pilihanraya Umum 1999. Serangan peribadi ke atas Anwar yang diharap dapat melemahkan kepercayaan orang-orang Melayu ke atas dirinya jelas membuahkan hasil yang sebaliknya. Buat julung-julung kalinya, sokongan orang-orang Melayu terhadap Umno jatuh dengan teruk. Kalau tidak kerana undi kaum Cina dan India, nescaya kerajaan Barisan Nasional tumbang pada pilihanraya umum tersebut.
Maka, agak menghairankan mengapa Umno dan Barisan Nasional dalam kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor ini masih mahu menggunakan taktik lapuk ini. Tidakkah mereka sedar bahawa masyarakat sekarang sudah semakin bijak dan terdedah dengan pelbagai sumber maklumat selain daripada RTM dan Utusan Malaysia?
Zaid Ibrahim ternyata telah membalas serangan ini dengan bijak. Beliau tidak mengelak dan tidak juga cuba menutup kesalahannya yang lalu. Beliau mengaku terlibat dalam perbuatan yang dimaksudkan namun kini tidak lagi. Kalau benar orang itu sudah bertaubat, apa lagi yang hendak dikatakan? "Taubatnya tidak sah?" Itu bukan kuasa kita sebagai manusia untuk menentukan.
Sebaliknya apa yang berlaku ialah serangan peribadi ini terpantul kembali ke arah mereka yang memulakannya. Di dalam internet, telah mula tersebar gambar-gambar dan kisah-kisah pemimpin-pemimpin Umno yang meminum arak dan terlibat dalam kegiatan perjudian. Malah, Ariff Sabri (ahli Umno dan penulis blog Sakmongkol AK47) jelas mengatakan bahawa ramai pemimpin Umno minum arak dan berjudi. Maka, apa yang asalnya dianggap peluru menyerang lawan kini melantun balik ke arah mereka yang menembaknya.
Walaupun Barisan Nasional mungkin akan menang di Hulu Selangor, kemenangan itu adalah kerana sikap naif sesetengah pengundi dan sokongan orang-orang Melayu yang sentiasa setia bersama Umno. Kesan jangka panjang pula, Umno dan Barisan Nasional mungkin akan hilang selama-lamanya sokongan orang-orang Melayu di bandar, golongan-golongan muda dan yang terpelajar, dan sokongan orang-orang bukan Melayu. Mereka tidak lagi mahu melayan politik kelas rendah seperti ini.
Maka menguatkan lagi keluhan yang pernah diungkap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa Umno kini semakin hari semakin menjadi parti yang tertumpu pada satu kumpulan spesifik dalam masyarakat Melayu sahaja yakni kumpulan yang nasionalistik dan taksub pada bangsanya sendiri. Walhal Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang kurang sedekad lalu dianggap parti yang konservatif dan berfikiran sempit, telah mula menampakkan kematangan berpolitik. Pengaruhnya di kalangan masyarakat bandar dan orang-orang bukan Melayu semakin berkembang tanpa melemahkan sokongan tradisinya di kalangan orang-orang Melayu yang konservatif dalam hal-ehwal agama.
Kita sudahpun masuk ke dekad kedua dalam abad ke-21. Dan negara kita sudahpun menjangkau usia lebih 50 tahun. Bilakah agaknya kita boleh mencapai kematangan dalam berpolitik? Saya percaya dalam Umno dan Barisan Nasional, ada ramai ahli-ahlinya yang berkebolehan yang mampu bermain strategi politik yang lebih positif dan matang. Silalah tampil dan bawa perubahan.