Thursday, 15 April 2010

Masyarakat Bijak & Kebebasan Bersuara

(The following is my article for Centre for Policy Initiatives, published on its website under the title 'Tak mudah jadi pemimpin zaman sekarang' on 8th April 2010)

Perdana Menteri Najib Abdul Razak dalam ucapannya pada perhimpunan mingguan Jabatan Perdana Menteri pada hari Isnin yang lalu mengakui bahawa salah satu cabaran besar dihadapi kerajaan sekarang ialah bagaimana untuk menangani masyarakat hari ini yang semakin hari semakin bijak. Dengan kebijakan dan kelayakan yang ada, mereka tidak mahu lagi hanya menurut dan mendengar, tapi mahukan lebih kebebasan bersuara untuk melontarkan pendapat dan kritikan.

Kesediaan perdana menteri menerima kenyataan ini sangat-sangat dialukan. Kerajaan Umno dan Barisan Nasional sudah sekian lama memainkan hujah ketaatan dan kepatuhan kepada pemimpin sebagai alasan untuk terus managih sokongan rakyat. Hujah yang berasal daripada mentaliti feudalistik ini terus dicanang terutamanya di kalangan orang Melayu. Prinsip asasnya ialah, walau apa jua kelemahan pemimpin dan pemerintah, pantang anak Melayu menderhaka!

Pada golongan muda, sering dilaungkan pula hujah ketaatan yang diadun pintaan untuk membalas budi dan berterima kasih. Semua orang Melayu yang menerima bantuan biasiswa dan pinjaman kewangan daripada kerajaan disaran agar tidak sesekali berpaling tadah menyokong selain daripada Umno dan Barisan Nasional. Yang perlu ditunjukkan adalah sikap taat setia dan berterima kasih kepada kerajaan. Mana mungkin digigit tangan yang menyuap makanan.

Hujah-hujah seperti ini sudah tidak lagi berkesan. Sepertimana yang diucapkan perdana menteri, masyarakat kini semakin bijak. Bijaknya mereka sehingga ramai yang tahu membezakan antara ketaatan kepada rakyat dan negara dan ketaatan kepada pemimpin-pemimpin politik dalam kerajaan.

Memang benar kerajaan banyak menabur bantuan biasiswa dan kewangan. Namun, dana yang digunakan untuk bantuan-bantuan ini bukanlah milik parti-parti politik Barisan Nasional. Dana yang digunakan adalah milik awam, milik rakyat Malaysia keseluruhannya. Maka, semua penerima-penerima biasiswa perlu berterima-kasih kepada rakyat Malaysia dengan menggunakan sepenuhnya ilmu dan pengalaman yang ada untuk membangunkan negara.

Antara sumbangan yang boleh dilakukan ialah dengan memperjuangkan pembentukan kerajaan yang lebih telus, adil dan efisyen. Fikrah perjuangan tidak semestinya dengan Umno dan Barisan Nasional. Ada yang memilih berjuang bersama parti-parti pembangkang. Tidak kira fikrah perjuangan mana yang dipilih, matlamatnya tetap sama yakni untuk membangunkan tanahair yang tercinta.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak pastinya sedar bahawa tidak munasabah untuk mengharapkan golongan muda yang berpelajaran tinggi dan terdedah dengan pelbagai falsafah ideologi dan teori pemikiran dengan mudah dapat menerima apa sahaja yang diluahkan kerajaan. Setiap dasar akan diteliti, setiap kata-kata akan diamati, dan jika ada kelemahan dan kepincangan yang dikesan, bersedialah mendengar kritikan.

Justeru itu, perlu ada ruang yang luas yang disediakan bagi rakyat berbahas dan berbincang isu-isu yang membelenggu negara dan kerajaan. Rakyat perlu diberi kebebasan melontarkan hujah, cadangan dan kritikan agar pemimpin kerajaan diingatkan bahawasanya tanggungjawab mereka bukan untuk bersenang-lenang di atas kerusi empuk pejabat kerajaan, tetapi untuk mencurahkan segala tenaga dan tumpuan kepada masalah negara dan rakyat.

Kebebasan bersuara yang diharap bukanlah kebebasan mutlak tanpa batasan. Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, garis panduan yang kemas perlu digubal untuk memandu perbincangan dan perbahasan pada setiap peringkat. Kita tidak mahu kebebasan hingga ke tahap pemimpin-pemimpin kerajaan dan parti-parti politik dihina dan dijadikan bahan gurauan yang keterlaluan. Tidak molek juga sekiranya kebebasan itu sampai ke tahap gambar-gambar wajah pemimpin-pemimpin dipijak dan dibakar.

Cukuplah sekadar ruang yang luas diberikan agar segenap masyarakat dialu-alu mengutarakan hujah dan pandangan. Janganlah diugut mereka dengan ancaman dakwaan dan tindakan undang-undang walaupun mungkin hujah yang diberikan tajam dan pedas mengkritik dan mendedahkan kepincangan dalam kerajaan.

Lantaran muncul individu-individu seperti Raja Petra Kamarudin yang lantang menuduh perdana menteri dan kerajaan terlibat dalam pelbagai skandal, yang mahu dilihat ramai bukanlah tindakan undang-undang diambil ke atas mereka. Yang mahu dilihat adalah respon terperinci bagi setiap tuduhan yang dilemparkan. Bersumpah di dalam masjid mana mungkin cukup untuk meredakan desas-desus dan syak-wasangka.

Yang perlu diamati adalah cara bagaimana hujah itu disampaikan dan bahasa yang digunakan. Berbahasalah dengan cermat dan tertib. Tidak perlu terjerit-jerit sambil menghunus keris. Tidak perlu juga kata-kata nista yang menghina bangsa dan agama lain. Sekiranya terbukti kritikan yang disampaikan palsu dan berniat jahat, barulah tindakan undang-undang dikenakan.

Perbezaan pendapat adalah lumrah setiap sistem demokrasi. Tugas seorang pemimpin bukanlah untuk melayan hanya hujah yang menyokong dan melenyapkan semua yang tidak. Seorang pemimpin yang baik perlu bersedia mendengar kesemuanya, mempertimbangkannya sedalam mungkin dan bertindak hanya setelah semuanya dikaji.

Bukannya mudah menjadi pemimpin zaman sekarang. Masyarakat yang kian sofistikated pemikirannya tidak mahu pemimpin politik dan wakil rakyat yang hanya tahu menguruskan gotong-royong dan menyampaikan derma dan sumbangan. Mereka mahukan tokoh-tokoh yang arif akan isu-isu politik dan ekonomi dan berani berdepan segala hujah dan kritikan yang dilemparkan.

Sekiranya masih ada pemimpin-pemimpin politik di Malaysia baik di pihak Barisan Nasional mahupun di pihak Pakatan Rakyat yang masih menganggap kedudukan mereka setaraf dengan pemimpin zaman feudal dan golongan bangsawan dahulu kala yang tidak boleh disanggah segala hujah dan tindakan mereka, nescaya tidak lama jangka hayat politik mereka.

2 comments:

Anonymous said...

Pada pendapat saya, bagi negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia yang baru sahaja bebas dari pengaruh kuasa asing,negara-negara tersebut memerlukan sebuah kerajaan yang kuat untuk membangunkan negara.
Ini kerana keperluan negara-negara tersebut adalah berbeza dengan keperluan negara-negara maju. Matlamat kita adalah untuk mencapai kemajuan yang setaraf dengan negara maju. Banyak yang perlu diubah dan dicapai untuk menjadi sesebuah negara maju. Untuk melaksanakan perubahan tersebut, sesebuah negara memerlukan jentera kerajaan yang mantap, kuat yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang pintar, berkeyakinan tinggi ,tegas,'visionary' dan sedikit 'authoritarian'.
Pemimpin sebegini secara semula jadi akan dihormati dan disegani di setiap lapisan masyarakat. Pemimpin yang berperwatakkan sebegini amat penting untuk mengawal kestabilan dalam sesebuah negara dan pada masa yang sama membuat perubahan kearah kemajuan. Memandangkan negara-negara dunia ketiga agak rapuh dari segi kestabilan dan keselamatan,Kebebasan hak bersuara dan kebebasan lain perlu dikawal kerana di-era dunia tanpa batasa seperti sekarang, negara boleh menjadi kucar-kacir dalam sekelip mata.
Untuk menjadi pemimpin dalam sesebuah negara dunia ketiga, seseorang pemimpin perlu digeruni oleh kawan dan lawan. Digeruni oleh kawan bagi membolehkan setiap arahan yang dikeluarkan dipatuhi dan untuk mengawal persengketaan dalaman yang boleh melemahkan sistem pentadbiran.
Digeruni oleh lawan pula penting bagi membolehkan musuh atau anasir-anasir luar berfikir dua kali untuk membuat onar. Ini kerana mereka tahu pemimpin sebegini boleh melakukan apa sahaja yang tidak terlintas pun di fikiran. Untuk melakukan sesuatu, mereka sedar risikonya sangat tinggi.
Jika pemimpin yang memimpin sesebuah kerajaan itu lemah dan mudah untuk diperkotak-katikkan, setiap 'warlords' dalam pentadbiran akan naik tocang dan bebas melakukan sesuka hati mereka.Mereka ini mempunyai sokongan akar-umbi yang sangat kuat dan tidak mudah sebenarnya untuk mengawal mereka. Seseorang pemimpin perlu mencari jalan untuk 'command their respects'.
Dengan letusan teknologi maklumat pada masakini dimana segala-galanya bukan lagi rahsia, amatlah mudah untuk mengesan pemimpin yang lemah dan tidak berkemampuan.Kesannya,terbentuklah persepsi umum terhadap pemimpin tersebut.
Mereka yang dapat membaca kelemahan pemimpin tersebut mula bercita-cita sesuatu dan bertindak di luar kawalan. Ianya sampai ke satu tahap dimana pemimpin hilang kawalan dari segenap penjuru, dihina dan diperkotak-katikkan oleh lawan dan kawan. Jika pemimpin tersebut memimpin sesebuah negara, kerajaannya boleh tumbang pada bila-bila masa.
Sebagai contoh, saudara boleh melihat apa yang berlaku di negara-negara jiran. Pemimpin bertukar-ganti tetapi negara tidak pernah tenteram. Mana mungkin negara dapat dibangunkan dengan keadaan sebegitu. Kemajuan mustahil dapat dicapai. Inilah yang kononnya dinamakan demokrasi dan kebebasan hak bersuara. Yang miskin kekal miskin dan yang kaya kekal kaya. Tiada mobiliti sosial berlaku.
Jika ini berlaku, negara dunia ketiga akan kekal mundur dan miskin sampai bila-bila.

Zaki Samsudin said...

Anon 10:58, terima kasih atas kunjungan dan pendapat bernas yang ditinggalkan.

Memang benar, bagi sebuah negara membangun perlu ada pemimpin yang tegas, berani dan berketrampilan. Namun saya kurang bersetuju dengan hujah saudara/i bahawa pemimpin itu perlu sedikit 'authoritarian'. Hujah ini kalau disampaikan 50 tahun dulu mungkin boleh diterima. Sekarang, dalam keadaan masyarakat yang semakin lama semakin tinggi tahap pendidikannya, tak mungkin kita masih mahu bergantung kepada seorang pemimpin agung yang segala titah perintahnya perlu dijunjung tanpa soal.

Dalam artikel saya, saya telah perjelaskan bahawa kebebasan bersuara itu tidak sepatutnya bersifat mutlak. Memang perlu ada batasan dan kawalan tapi bukanlah sehingga ke tahap ruang media awam dikuasai sepenuhnya parti pemerintah. Apa salahnya di Malaysia, program diskusi seperti yang disiarkan di Astro Awani disiarkan di RTM? Apa salahnya juga sekiranya mahasiswa dan ahli akademik diberi kebebasan melontarkan pendapat dan kritikan? Bukankah ianya seperkara yang baik jika lebih banyak golongan muda peka akan isu2 politk semasa dan ingin mengambil bahagian dalam pentas perbincangan dan perdebatan? Atau adakah kita lebih selesa bilamana golongan muda rata-ratanya leka dengan Akademi Fantasia dan hiburan semata-mata? Saya tidaklah menyarankan agar diadakan pesta maki-hamun pemimpin2 masyarakat (baik di pihak BN mahupun di pihak PR). Hakikatnya, sekiranya seorang pemimpin yakin dengan tindak-tanduknya dia tidak perlu takut berdepan kritikan. Pasti semuanya boleh dijawab.

Thailand memang bergolak sekarang, namun janganlah diambil itu sahaja sebagai contoh. Cuba lihat Indonesia sekarang ini. Ruang perbahasan yang cukup meluas di sana melihatkan kesan yang amat positif di mana pemimpin politik tidak lagi boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti di zaman Suharto dulu. Pembangunan ekonomi di sana juga kini agak memberangsangkan dan hasilnya tidak lagi dibolot golongan elit pemerintah.

Untuk memelihara kestabilan negara, yang penting pasukan keselamatan (polis dan tentera) dan badan kehakiman perlu jelas bebas dan neutral. Maka, mana2 pemimpin yang menyalahgunakan kuasa boleh dipertangungjawabkan segala tindak-tanduknya.