Thursday 24 June 2010

Bebaskan Mahasiswa Daripada Cengkaman AUKU

(The following is my article for Centre for Policy Initiatives published on its website on 17th June 2010)

Gara-gara turun padang meninjau perjalanan kempen pilihanraya kecil di Hulu Selangor April lepas, empat orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berhadapan tindakan tatatertib. Mereka adalah 'mangsa' terbaru Akta Universti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menghalang mahasiswa dan ahli akademik daripada terlibat dalam sebarang kegiatan politik.

AUKU yang diwarisi hari ini adalah salah satu 'harta peninggalan' bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Pindaan ke atas AUKU pada tahun 1975 dibentangkan Dr Mahathir selaku Menteri Pelajaran ketika itu selepas berlakunya demonstrasi besar-besar anjuran gerakan mahasiswa pada tahun 1974. Demonstrasi tersebut dianjurkan bagi membela nasib petani-petani miskin di Baling, Kedah.

AUKU diperkenalkan atas alasan perlunya mahasiswa menumpukan masa dan tenaga pada pelajaran dan tidak membuang masa terlibat dalam kegiatan politik. Politik itu dianggap melalaikan. Mereka yang terlibat dalam politik dianggap sudah terpesong daripada landasan yang benar. Hasrat kerajaan ialah membendung kemungkinan mahasiswa gagal dalam pelajaran kerana keterlibatan mereka dalam kegiatan politik.

Tidak diketahui berapa ramai mahasiswa di universiti-universiti tempatan yang gagal dalam pelajaran kerana sibuk berpolitik. Mungkin benar ianya salah satu penyebab kegagalan namun pastinya ada penyebab-penyebab yang lain. Antaranya mungkin kerana sibuk bersukan, sibuk bekerja sambilan dan mungkin juga sibuk dilamun percintaan.

Sekiranya berpolitik, sebagai salah satu penyebab kegagalan, dibanteras sepenuhnya melalui AUKU, mengapa tidak AUKU diperluaskan bagi membanteras penyebab-penyebab kegagalan yang lain? Mengapa tidak diharamkan saja mahasiswa daripada bersukan, bercinta dan bekerja sambilan? Haramkan saja kesemuanya kerana kita mahu mahasiswa menumpukan hanya pada pelajaran.

Sebagai salah seorang tenaga pendidik di institusi pengajian awam, saya kurang mengerti mengapa berpolitik itu dianggap sesuatu yang begitu hina dan membahayakan. Memang benar, ada mahasiswa yang ponteng kelas dan gagal dalam peperiksaan kerana sibuk ke hulu dan ke hilir menghadiri ceramah-ceramah politik. Tetapi tidak semuanya begitu. Ada yang sibuk berpolitik tapi masih mampu mentadbir masa melaksanakan segala tugasan akademik dengan cemerlang.

Persoalannya, apakah sebenarnya golongan mahasiswa yang mahu dilahirkan melalui sistem pendidikan tinggi tempatan? Apakah kita mahu melahirkan mahasiswa yang hanya berminat membaca dan menghafal, atau adakah kita mahu mahasiswa yang mampu menghubungkan teori dengan kenyataan?

Saya pernah beberapa kali semasa kuliah cuba menilai sejauh mana pengetahuan am pelajar-pelajar saya di kelas. Saya bertanyakan soalan-soalan mudah seperti, 'apakah nama penuh Menteri Pelajaran?' dan 'apakah nama penuh parti PAS?' Agak menyedihkan bagi soalan-soalan mudah seperti ini, tidak sampai 25 peratus pun pelajar yang dapat menjawabnya dengan betul.

Yang menarik berkenaan kes empat mahasiswa UKM ini, kesemua mereka adalah pelajar program sains politik yang ketika pilihanraya kecil Hulu Selangor berlangsung, sedang menduduki kursus 'Analisa Pilihanraya' di Jabatan Sains Politik, UKM.

Tujuan mereka turun padang di Hulu Selangor adalah untuk meninjau realiti bagaimana kempen pilihanraya di negara ini dijalankan. Malangnya, apa yang sepatutnya dipuji sebagai inisiatif yang baik dijadikan jerat untuk memerangkap mahasiswa-mahasiswa ini.

Kesatuan kakitangan akademik tempatan sudah sekian lama menyeru kerajaan menghapuskan AUKU. Bukanlah tujuan saranan ini dibuat untuk mendesak mahasiswa terlibat dalam politik. Saranan ini dibuat atas kesedaran mahasiswa perlu diberi kebebasan menyelami pelbagai ideologi dan pemahaman. Bila lagi kalau bukan ketika menuntut di kolej dan universiti golongan muda berpeluang mengembang minda dan pemikiran?

Bukankah politik itu menganjur perdebatan dan merangsang pemikiran kritis di kalangan orang muda? Atau, adakah kita lebih selesa sekiranya golongan muda terpesona dengan muzik, wayang dan lain-lain hiburan?

Sebagai seorang pensyarah, saya pastinya lebih senang mendengar pelajar-pelajar saya menghadiri ceramah politik daripada menghadiri acara-acara hiburan. Saya juga pasti lebih gembira jika melihat pelajar-pelajar membaca Harakah dan Aliran Monthly daripada membaca Mastika dan Media Hiburan.

Perlu diingat, tidak semua mahasiswa yang terlibat dalam politik akan terpengaruh menyertai parti-parti pembangkang. Di kemuncak gerakan Reformasi pada akhir tahun 1990-an, berpuluh ribu mahasiswa seluruh negara turun menyertai demonstrasi anti-kerajaan.

Daripada puluhan ribu ini, tidak semua yang hingga sekarang masih setia menyokong parti-parti pembangkang. Ramai juga yang dulunya kuat melaung "Reformasi" dan menjunjung poster Anwar Ibrahim ke sana sini kini menyertai Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain.

Fahaman dan dokongan politik itu boleh berubah. Maka, janganlah disekat mahasiswa daripada mencuba dan mendekati pendekatan politik yang berbeza-beza.

Jika ya pun kerajaan bertegas tidak mahu menghapuskan AUKU, paling tidak laksanakanlah ia dengan adil. Empat orang mahasiswa UKM ini dilaporkan telah membantu berkempen untuk calon PKR dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor. Ramai yang pasti tertanya, sekiranya mereka turun membantu berkempen untuk calon Barisan Nasional, adakah tindakan tatatertib akan diambil ke atas mereka juga? Barisan Nasional ialah sebuah gabungan parti-parti politik.

Kalau salah berkempen untuk PKR, pasti salah juga berkempen untuk BN!

Atau mungkin berkempen untuk BN itu tidak salah kerana BN itu kerajaan, maka berkempen untuk BN itu sebenarnya sekadar memberi khidmat pada kerajaan. Jika itulah rasionalnya, empat mahasiswa UKM ini tidak boleh dianggap salah juga. Sebabnya, kerajaan negeri di Selangor itu diterajui PKR, maka berkempen untuk PKR juga boleh dianggap memberi khidmat pada kerajaan negeri.

Saya percaya beberapa pemimpin muda Umno seperti Saifuddin Abdullah dan Mohd Puad Zarkashi mahu ruang yang bebas diberikan kepada mahasiswa untuk terlibat dalam kegiatan politik. Mereka sedar jika ruang yang bebas ini diberikan, bukan parti-parti pembangkang sahaja yang boleh menerima manfaat. Umno juga boleh secara terbuka mengembangkan pengaruhnya di kampus-kampus melalui sayap Putera dan Puteri-nya.

Empat mahasiswa UKM ini kini telah membawa kes ini ke mahkamah. Agak sukar membayangkan mahkamah akan memihak kepada mereka, namun sekurang-kurangnya kes mereka ini akan menarik perhatian ramai akan perlunya AUKU itu dihapuskan.

2 comments:

Anonymous said...

semalam 40 ulama masuk umno.. antaranya pensyarah2 ukm. cuba tanya diorang tu resign ke kat ukm masuk umno?? kalu masuk pas sah kena pecat!! memang auku ni berat sebelah.......

Ahmad Javanese said...

lor. tak tau pulak aku kes ni. dah le dia orang belajar degree berkaitan politik. Ish... nak jadik mcm USA pona da gak pihak berkuasa ni... buat benda yg clear2 salah tapi takde orang yg boleh buat apa apa... Hmmmm