Saturday 17 July 2010

Mengapa Malaysia Tidak Pernah Layak Ke Piala Dunia?

(Berikut ialah artikel saya yang diterbitkan di laman web Centre for Policy Initiatives pada 9 July 2010. Dipaparkan juga di bawah komen yang diberikan oleh 'Peminat Bolasepak' yang saya rasakan sangat bernas dan wajar diberikan perhatian yang serius)

Pertandingan Piala Dunia Bolasepak 2010 di Afrika Selatan sudah hampir ke penghujungnya. Sudah hampir sebulan peminat bolasepak di Malaysia bersorak menyaksikan pertarungan antara negara-negara selain daripada negara tanahair mereka sendiri. Dalam keghairahan bersorak pasti ramai yang tertanya, "bilalah agaknya pasukan kebangsaan Malaysia akan beraksi di pusingan akhir Piala Dunia?"

Melihat pada prestasi pasukan kebangsaan sepanjang beberapa tahun yang lalu, agak mustahil Malaysia dapat beraksi di pentas Piala Dunia. Senarai ranking mutakhir Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan Malaysia di tangga 146, setaraf dengan 'gergasi' bolasepak yang lain seperti Turkmenistan, Burundi dan Madagascar.

Walhal, kurang 30 tahun yang lalu pasukan bolasepak kebangsaan duduk setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan yang sudah berturut kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Saya sempat menyaksikan pertarungan antara Malaysia dan Jepun sebanyak dua kali di Stadium Merdeka pada tahun 1980-an. Pertamanya di peringkat separuh akhir Pestabola Merdeka 1986: Malaysia menang 2-1 dalam masa tambahan. Perlawanan kedua ialah di pusingan kelayakan Piala Asia 1988: Malaysia tewas 0-1.

Sekarang, sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Jepun ataupun tewas tipis di tangan mereka, pasti dianggap kejayaan yang sangat besar. Walaupun tewas 0-1 pada tahun 1988, hakikatnya Malaysia pada perlawanan tersebut menguasai pasukan Jepun sepanjang tempoh perlawanan. Kekalahan tipis ketika itu dianggap cukup mendukacitakan.

Kemerosotan pasukan bolasepak kebangsaan boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Yang pasti, kemerosotan ini banyak mencerminkan beberapa perkara 'pelik' yang berlaku di dalam negara.

Pertama, jika dilihat pada barisan pemain kebangsaan sekarang, sudah tidak ada lain pemain berbangsa Cina yang menyarung jersi kebangsaan. Malah, hanya S. Kunalan, pemain dari Negeri Sembilan yang merupakan pemain bukan Melayu tunggal yang sering turun dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

Sudah pasti kemerosotan prestasi pasukan bolasepak kebangsaan bukan kerana tiadanya pemain berbangsa Cina. Cuma, apa yang berlaku ialah menularnya polarasi kaum dalam arena sukan negara. Bolasepak kini boleh dianggap sukan untuk kaum Melayu sahaja, manakala kaum Cina lebih tertumpu pada acara sukan lain seperti bolakeranjang dan bolatampar.

Dalam bersukan pun sudah kurang integrasi antara kaum! Bukankah ini sesuatu yang amat menyedihkan?

Saya percaya kepelbagain kaum dalam sebuah pasukan bolasepak ada manfaatnya. Lihat saja pada pasukan Jerman dalam kejohanan Piala Dunia kali ini. Dalam kesebelasan utama pasukannya yang membenam England dan Argentina, ada permain yang berbangsa Turki, ada yang berasal dari Ghana dan Tunisia, dan di bangku simpanan ada pemain-pemain yang berasal dari Sepanyol dan Brazil.

Pemain-pemain ini membawa pembaharuan dalam corak permainan pasukan Jerman. Jika sebelum ini mereka dianggap hanya bergantung kepada disiplin dan organisasi permainan yang tinggi, pasukan Jerman kali ini dilihat mempamerkan aksi menyerang yang baik dan kreatif.

Pasukan kebangsaan Malaysia dahulunya punya kelebihan ini. Pemain-pemain Melayu dan India lebih ekspresif mempamerkan skil permainan manakala pemain-pemain berbangsa Cina dan Sikh punya daya tumpuan dan disiplin yang tinggi. Maka, tidak hairan jika dilihat pada senarai pemain kebangsaan pada tahun 1970-an dan awal 1980-an, tonggak pertahanan negara dibarisi pemain-pemain seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Lee Kin Hong dan Serbegeth Singh; dan tonggak serangan dibarisi pemain seperti Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Hassan Sani dan Zainal Abidin Hassan. Budaya yang berbeza membawa gaya permainan yang berbeza, dan ini membawa manfaat bila diadun dengan sempurna.

Seperkara lagi yang menyedihkan dalam bolasepak negara ialah penglibatan ahli-ahli politik. Memang benar, daripada sudut kewangan penglibatan ahli-ahli politik itu membawa manfaat. Mereka mampu menarik dana yang diperlukan untuk mengurus persatuan bolasepak tempatan. Selain daripada itu, penglibatan mereka sebenarnya tidak perlu.

Saya tidak faham misalnya mengapa jawatan presiden persatuan-persatuan bolasepak negeri sering dipegang menteri-menteri besar. Tidak cukupkah kerja di pejabat menteri besar sehingga perlu mencari kerja tambahan mengurus persatuan bolasepak? Mengapa tidak dibiarkan sahaja pentadbir profesional mentadbir dan membuat keputusan? Saya percaya ramai menganggap penglibatan ahli-ahli politik ini tidak lebih daripada usaha mencara publisiti murahan.

Kita tidak mahu ahli-ahli politik masuk campur kerana tidak mahu 'penyakit politik' meresap dalam bolasepak. 'Penyakit' yang paling ketara ialah kurangnya fokus pada rancangan jangka panjang. Banyak dana dan tenaga lebih tertumpu pada kejayaan serta merta. Siapa di kalangan ahli-ahli politik yang mahu membuang masa merancang pelan jangka panjang seperti 'Malaysia ke Piala Dunia 2018'? Tahun 2018 itu sangat jauh dan jangka hayat politik mereka mungkin tamat sebelum itu.

Sekiranya perancangan rapi dibuat, saya percaya pasukan bolasepak kebangsaan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Saiz dan tubuh pemain yang kecil tidak lagi boleh dijadikan alasan. Pemain-pemain Jepun dan Korea Selatan sudah membuktikan ia bukanlah penghalang untuk mengecap kejayaan. Kejayaan pasukan kebangsaan merangkul pingat emas Sukan SEA tahun lalu perlu dijadikan asas kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Bersorak untuk pasukan Brazil, Sepanyol dan Argentina dalam pusingan akhir Piala Dunia banyak membawa kepuasan. Namun, bagi setiap peminat bolasepak di tanahair, tidak ada yang lebih memuaskan dan membanggakan daripada bersorak untuk pasukan Malaysia dan mendengar lagu Negaraku berkumandang di Piala Dunia. Bilalah agaknya impian ini akan menjadi kenyataan?

Komen ‘Peminat Bolasepak’:

Point 1 : Polarasi kaum

Saya rasakan kurang adil jika kita jatuhkan hukuman polarasi kaum kepada kualiti bolasepak kita. Hakikatnya, memang itu sahajalah yg kita ada. Saya berpendapat jika ada kaum bukan melayu yg mahu bermain pun, tak akan berubah kualitinya. Germany memilih Khedira, Ozil dan Klose bukanlah kerana mahukan integrasi kaum, tetapi kerana itulah yg terbaik mereka ada. Saya yakin bahawa jikalau 23 pemain terbaik German adalah yang memang dilahirkan di German, mereka itulah yg akan dipilih.

Sepanyol pernah mencuba kaedah yg lebih kurang serupa pada piala dunia 1984 dengan seberapa boleh menyenaraikan pemain-pemain dari kesemua regional, contohnya Basque, Catalonia, Madrid, Valencia dan Andalusia. Ternyata, ia langsung tidak menjadi, dan persembahan Sepanyol pada piala dunia itu adalah tersangat mengecewakan.

Kesemuanya adalah bergantung sepenuhnya kepada perkembangan pemain-pemain kita. Kita selalu melihat kepada bolasepk Inggeris. Corak latihan, akademi bolasepak, kesemuanya adalah merujuk kepada pasukan-pasukan dari Inggeris, padahal, sebenarnya England tidak langsung menyerlah di peringkat antarabangsa. Corak permainan Inggeris yg pantas, laju dan fizikal sebenarnya tidak sesuai dengan keadaan fizikal kita yg sekarang lebih kecil dari Jepun. Bagaimana jika kita menitik beratkan kepada skil teknikal individu? Cara memegang bola, 'close-control', 'dribbling', 'possession', semua ini kurang ada pada bolasepak Inggeris. Kalau kita melihat kepada pemain-pemain dunia yg mempunyai skil seperti yg saya sebut di atas, kesemuanya bertubuh kecil! (Messi, Xavi, Pedro, Iniesta) Jika kita boleh menitik beratkan aspek ini pada permainan kita, tak mustahil kita boleh mempunyai Messi kita sendiri.

Point 2 : Politik

Saya setuju 100%. Tahukah kita bahawa bolasepak Jepun boleh berada di tempat mereka sekarang dengan pelan 20 tahun mereka yg bermula pertengahan 80-an? Dan kita dapat menyaksikan sekarang mereka boleh bersaing di pentas dunia. Dimana pelan kita? Sedangkan format liga malaysia pun seringkali ditukar 1-2 tahun sekali, apatah pula dengan 'blueprint'?

4 comments:

Anonymous said...

Wow! Aku pun pegi jugak game M'sia-Jepun 1988. Memang masa tu tak patut kalah. Zainal dan Dollah banyak lepas peluang. Tinggal kenangan......

Zaki Samsudin said...

Brought my son to watch the Malaysia vs. South Korea game yesterday at the National Stadium Bukit Jalil. There is still hope in the current under-23 team. Hope they do well at the Asian Games and move on to bigger things in the near future.

mentaliti man said...

Salah satu faktor yg penting ialah psikologi... yang akan memberi kesan kepada mentaliti. Sering kita lihat, pemain Melayu mempunyai body language yang agak negatif. ni adalah kesan dari mentaliti yang tidak kuat dan kurang positif. Mentaliti 'main senang' juga harus dihapuskan dimana pemain2 harus cuba mendapatkan skill2 yang power... dan ya, saya maksudkan individual skills... dan ini perlu diperkuatkan. Tapi di atas padang, main as a team la, jgn la terbawa2 mentaliti individualism ketika bermain.

Saya lihat skill kita memang kurang, terlebih2 lagi ketika half time... Suatu ketika dulu, ketika berlawan dengan Indonesia (tak ingat piala apa). Main monyet2 pon kita boleh nampak... pemain2 Malaysia tak boleh nak fikir panjang....

Anonymous said...

Malaysia main cara malaysia xpernah berubah
Xbole ke ubah car
Pertahanan balik2 berkampung
Macam dah xde strategi kalau kena serang
Kalau attack pun xda persefahaman antara pemain sume sibuk kejar gol sendiri nak kira sapa star score banyak xpernah lansung create game...
Bosan..
tolong la fam meriahkan lagi arena bola sepak dengan hantar player2 bagus ni xpayah jauh2 sampai jepun, beria mar, mula dengan kejiranan dekat2 macam kejiranan asia tenggara pun dah cukup

Slow2 lepas tu baru la team2 besar dunia akan nampak keupayaan pemain malaysia!!!

hina sangat ke kelab2 asia tenggara ni?
Rasanya kualiti jauh beza dengan liga malaysia dan boleh dikatakan jauh lebih baik

At least ada flavour baru dalam kancah bolasepak negara

So bila banyak kekosongan kat liga m ni baru la bole cari pelapis2 seterus nya dan isi kekosongan tu. Seterusnya bole la ulang cycle tu

Xada la kerbelambakan pemain


Sampai bila nak jadi researcher tonton video perlawanan lua dan habiskan duit juta2 bawak team2 luar buat friendly dengan kita??

Selagi tiada perubahan selagi itu la malaysia menang sorak je..


Come on malaysia