Saturday 26 January 2013

Satu hari di taman permainan...

(Berikut adalah artikel saya yang diterbitkan di laman web Centre for Policy Initiatives pada 19 January 2013 di bawah tajuk 'Budak diherdik dengan panggilan 'keling bodoh')

Beberapa minggu yang lalu, saya telah membawa anak-anak ke taman permainan berhampiran tempat tinggal kami. Taman permainan itu agak luas. Di satu sudut, terdapat alatan permainan kanak-kanak – gelungsur, buaian, jongkang-jongket dan sebagainya – manakala di satu sudut lain terdapat tanah lapang yang walaupun tidak begitu luas, cukup untuk kanak-kanak lelaki bermain bolasepak.

Saya memang minat bolasepak dan suka melihat telatah kanak-kanak cuba mempamerkan skil masing-masing. Tatkala asyik memerhatikan mereka, saya baru sedar dalam kumpulan budak-budak lelaki sekitar 20 orang itu, terdapat seorang budak lelaki berbangsa India. Yang lain semuanya budak-budak Melayu.

Situasi sebegitu bukanlah ganjil sebenarnya. Memang kawasan perumahan itu majoriti penduduknya orang-orang Melayu. Yang ganjil dan amat memeranjatkan saya adalah sikap budak-budak Melayu terhadap budak India tunggal itu. Hampir kesemua mereka memanggilnya “budak keling”. Bila dia tersilap tendang, diherdik pula dengan panggilan “keling bodoh”. Budak India itu walau bagaimanapun, tetap bersemangat mahu terus bermain. Malangnya dia dipinggirkan. Tidak ada yang mahu menghantar bola kepadanya. Dia cuba juga mengejar sedaya-upaya namun terus dibuli budak-budak yang lain. Tidak cukup dengan itu, tidak putus-putus dia diherdik dengan kata-kata kesat dan menghina.

Budak-budak lelaki yang saya perhatikan hari itu semuanya masih kecil. Pada amatan saya, semuanya berumur bawah 15 tahun. Kerana itulah saya terperanjat dengan sikap mereka terutamanya kata-kata kesat yang keluar daripada mulut mereka. Persoalannya, bagaimana mereka mampu bersikap sedemikian?

Dalam bidang sosiologi, setiap kelakuan manusia dikaji berdasarkan rangkaian interaksi antara agensi-agensi masyarakat daripada yang paling kecil hingga yang paling besar. Individu itu sendiri adalah agensi yang paling kecil, diikuti dengan ibubapanya, adik-beradik, sanak-saudara, jiran-jiran, guru-guru, tokoh-tokoh dan idola masyarakat, dan akhirnya sesebuah masyarakat itu sendiri secara am.

Sukar untuk kita tentukan adakah budak-budak Melayu yang saya ceritakan di atas, sikap dan kelakuan menghina yang mereka tunjukkan itu adalah hasil pengaruh ibubapa atau ahli-ahli keluarga terdekat. Itu hanya boleh ditentukan melalui kajian mikro psikologi personaliti dan psikologi sosial. Namun kita boleh melihat kepada beberapa contoh kelakuan dan sikap di kalangan tokoh-tokoh masyarakat yang jikapun tidak banyak, pasti ada memberi pengaruh dan kesan.

Pada tahun 2007, ketika menghadiri sebuah program bersama pelajar-pelajar Malaysia di California, Amerika Syarikat, seorang menteri kabinet berbangsa Melayu telah dilaporkan mengeluarkan beberapa ungkapan yang dianggap menghina seorang pelajar berbangsa India. Dalam ucapannya, beliau menerangkan bagaimana pihak penjajah British membawa buruh India ke Tanah Melayu. Seraya berkata demikian, beliau memandang tepat ke arah seorang pelajar India di dalam dewan tersebut lalu berkata “that’s how we got Indians in Malaysia” (“kerana itulah di Malaysia ada orang-orang India”).

Kemudian, pada tahun 2010, timbul pula laporan bagaimana seorang pengetua sekolah menengah kebangsaan di Johor, ketika berucap dalam perhimpunan khas sempena perayaan Hari Kemerdekaan, dengan lantang berkata pelajar-pelajar Cina tidak diperlukan di sekolah itu. Dicanang beliau agar pelajar-pelajar Cina berpindah ke sekolah Cina atau pulang sahaja ke negara Cina. Kepada pelajar-pelajar India beragama Hindu pula beliau berkata, tali sembahyang yang dipakai di lengan dan di leher mereka umpama tali yang dipakai seekor anjing!

Dua contoh di atas adalah contoh kelakuan dan manifesti sikap yang ditonjolkan secara terbuka di khalayak ramai. Bayangkan apakah kata-kata yang mereka hemburkan dalam percakapan harian bersama ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan? Pengetua sekolah menengah itu misalnya, kalau begitulah sikap beliau ketika berucap dalam perhimpunan, bayangkan sikap beliau ketika berbual bersama guru-guru (yang majoritinya berbangsa Melayu) atau ketika memarahi pelajar-pelajar berbangsa Cina dan India di pejabatnya? Bayangkan juga bagaimana sikap beliau ini boleh mempengaruhi guru-guru lain yang masih muda dan pelajar-pelajar Melayu di sekolah berkenaan?

Merujuk kembali kepada kerangka sosiologi yang diterangkan tadi, tidak adil sebenarnya untuk kita menyalahkan individu-individu seperti pengetua sekolah ini semata-mata. Sikap dan kelakuan mereka juga dipengaruhi suasana atau individu-individu yang lebih besar kedudukannya dalam masyarakat. Dalam konteks negara kita, mereka yang paling berpengaruh dan yang paling besar hebahan kata-kata mereka adalah pemimpin-pemimpin politik kerajaan.

Polemik bangsa dan agama memang sudah sebati dengan politik di Malaysia. Agak menyedihkan namun tidak dapat dielakkan. Setiap parti dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili bangsa-bangsa tertentu semuanya mahu tampil garang mempertahankan hak masing-masing. UMNO dan PERKASA misalnya, tidak putus-putus berteriak memberi amaran agar jangan ada yang berani mempertikaikan hak-hak orang Melayu. Diiringi pula dengan liputan meluas media arus perdana dan akhbar-akhbar tempatan.

Selalunya pihak yang diberi amaran itu memang tidak disebut dengan jelas. Namun, siapa lagi ianya ditujukan jika tidak kepada orang-orang bukan Melayu di negara kita. Teringat saya bagaimana beberapa kenalan berbangsa Cina mengeluh apabila anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan takut untuk ke sekolah setelah terdengar ucapan-ucapan yang disampaikan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Mungkin pemimpin-pemimpin politik ini tidak sedar kesan perbuatan dan kata-kata mereka. Mereka menakut-nakutkan orang-orang bukan Melayu, dan kesannya lahirlah perasaan marah yang menyebabkan mereka tidak mahu lagi mengundi mana-mana parti dan individu yang bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Dari sudut yang lain pula, kesan kata-kata keras ini menyebabkan ramai orang-orang Melayu daripada segenap lapisan masyarakat menjadi sombong dan hilang rasa hormat terhadap bangsa-bangsa yang lain. Apa sahaja yang dilakukan pemimpin-pemimpin akan dijadikan teladan. Maka, ramai tidak lagi berasa segan menghina dan melemparkan kata-kata keras terhadap bangsa-bangsa lain kerana rasionalnya, “kalau pemimpin politik boleh, mengapa kita tidak boleh?”

Budak-budak lelaki Melayu yang saya perhatikan di taman permainan beberapa minggu yang lalu itu adalah salah satu hasil daripada rantaian interaksi pemimpin dan masyarakat ini. Adakah ini sikap bangsa Melayu yang ingin dipupuk pemimpin-pemimpin UMNO, PERKASA dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain?

Bukanlah tujuan artikel ini untuk menghentam orang-orang Melayu semata-mata. Sifat prejudis ada pada semua bangsa. Sebagai seorang yang berkemahiran sedikit berbahasa Cina, saya tahu bagaimana sebahagian orang-orang Cina menghina dan mempersendakan orang-orang Melayu. Namun, dalam konteks negara kita, orang-orang Melayu sebagai kumpulan majoriti lebih bertanggungjawab menunjukkan teladan yang baik. Tambahan pula, kita orang-orang Melayu beragama Islam dan ajaran Islam itu mengajar kita saling hormat-menghormati, bukan menabur dan menyemai perasaan benci.

3 comments:

LQ said...

Assalamualaikum,

Teringat lagi semasa kecil dulu, saya pernah menggunakan perkataan 'keling' untuk merujuk kepada mereka yang berbangsa India namun telah ditegur ibu dan diajar untuk menggunakan nama yang lebih sopan, iaitu "Orang India". Justeru, saya tidak lagi berani untuk memanggil sesiapa dengan gelaran "keling" dan didikan ibu itu terbawa-bawa sehingga saya meningkat dewasa.

Begitu juga dengan perkataan kasar lain seperti "bodoh" dan seumpamanya. Sekali sekala terkeluar perkataan "hampeh" pun saya telah ditegur ibu. Apabila saya mendengar sebarang perkataan kesat yang bombastik terpacul laju dari mulut kawan-kawan di sekolah, saya berasa kurang selesa. Tertanya-tanya juga adakah mereka tidak pernah mendengar arahan ibu bapa dirumah agar tidak berbahasa kesat?

Persoalan itu terjawab apabila saya mengunjungi rumah beberapa teman yang dari keluarga 'working class'. Terbukti bahawa sesetengah dari mereka, subhanallah, bukan saja kurang dididik, namun 'value' Islamik hampir tidak diterapkan dalam keluarga. Sekali-sekala ada seorang dua anak yang pandai menilai baik dan buruk boleh mengasingkan diri dari tabiat ini. Namun bilangan mereka ini sangat sedikit.

Oleh itu, penerapan nilai-nilai murni bermula dari madrasah pertama iaitu ibu-bapa. Mereka yang menerapkan nilai dalam diri anak-anak. Bukan setakat itu saja, mereka juga perlu beristiqomah menasihati anak-anak walaupun mereka sudah meningkat dewasa.

Wallahualam

Anonymous said...

Bukankah perkataan keling tu berasal dari Kalinga yaitu suatu tempat di India, tempat asal orang2 India yang datang ke Malaysia. Ini diberitahu guru sejarah saya di sekolah dulu. Jadi saya hairan kenapa orang2 India sekarang terlalu sensitif padahal keling itu gelaran yang datang dari nama tempat bukannya perkataan hina.

Atau adakah teori ini tidak benar? Mohon tuan jelaskan. Wassalam.

Zaki Samsudin said...

wa'alaykum salam warahmatAllah

Terima kasih kepada saudara/i di atas yang sudi menjengah dan berkongsi pandangan dan soalan.

Saudara/i LQ, pastinya ibubapa yang pertamanya bertanggungjawab mendidik anak2 agar tidak menggunakan perkataan2 yang menghina, kesat dan kasar. Namun, pengalaman saya sendiri dengan anak lelaki tunggal saya yang kini berumur 9 tahun, sebelum masuk sekolah rendah, dia hampir tidak pernah menggunakan perkataan2 ini. Tetapi sejak masuk sekolah rendah, hasil pergaulannya dengan rakan2nya yang cukup mudah menghemburkan perkataaan2 ini, anak saya cepat terpengaruh dan sekarang susah hendak dikawal.

Saya bingung sebenarnya bagaimana hendak mengatasi masalah ini. Adakalanya terasa seperti mahu menghalang terus dia berkawan dengan kawan-kawan sekolah yang berperangai sebegitu. Tapi, bagaimana? Walhal memang dia bersekolah di sekolah agama.

Memang benar apa yang saudari nyatakan. Dalam hal ini, saya sebagai bapa perlu beristiqomah menasihati anak2 dengan doa dan harapan agar satu hari nanti dia sendiri sedar dan ingin berubah.

Berkenaan perkataan 'keling', memang benar perkataan itu asalnya merujuk kepada Benua Kalinga iaitu bahagian tenggara negara India sekarang. Link di bawah menerangkan dengan jelas fakta sejarah ini:

http://rajaragah.blogspot.com/2011/03/asal-usul-gelaran-keling-di-asia.html

Walau bagaimanapun, sebagaimana kesimpulan yang diberi dalam blog di atas, perkataan 'keling' kini sudah membawa maksud yang negatif yang tidak disukai orang-orang India. Maka, kalau orang dah tak suka, kenapa kita nak gunakan? Salah atau benar, patut atau tak patut mereka berasa terhina, itu boleh dibahaskan. Namun, pokoknya kita tahu perkataan itu amat dibenci. Jadi, janganlah digunakan.

Allahu'alam.