Friday 21 May 2010

Hanya Cantik Di Atas Kertas

(The following is my article for Centre for Policy Initiatives, published on its website under the title 'Bila rumah, kereta dan harta melampaui pendapatan' on 13th May 2010)

Ketika berkhidmat di sebuah syarikat perunding peniagaan lebih sedekad yang lalu, saya diberi peluang terlibat dalam sebuah projek merangka misi dan visi sebuah organisasi utama di Malaysia. Maka tersemburlah semasa perbincangan segala frasa yang cantik dan hebat yang difikirkan dapat menjadi lambang kemegahan organisasi berkenaan. Misi dan visi itu biarlah cantik. Samada ianya berpijak di bumi yang nyata atau sekadar mimpi di awangan tidak menjadi persoalan.

Inilah antara lumrah kehidupan di negara kita. Di atas kertas segala-galanya nampak cantik dan hebat. Namun realitinya tidaklah sehebat mana, malah adakalanya sangat menghampakan.

Abdullah Ahmad Badawi, pada penghujung pemerintahannya sempat menaikkan taraf Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Suruhanjaya ini dikatakan setaraf dengan suruhanjaya bebas pencegahan rasuah di Hong Kong yang diiktiraf keberkesanaannya di serata dunia. Berbekalkan misi yang hebat untuk "mewujudkan masyarakat Malaysia bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi, (dan) menjadikan SPRM agensi pembanterasan rasuah yang professional dan unggul"; ramai pemerhati terpegun dengan langkah berani yang diambil perdana menteri dan kerajaan. Suruhanjaya ini diharap dapat bertindak dengan bebas, adil dan professional bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan Barisan Nasional membanteras rasuah di setiap sudut dan peringkat.

Di atas kertas, misi dan visi SPRM memang gah dan hebat. Bidang kuasanya begitu luas. Pakaian rasmi para anggotanya pun tampak segak dan kemas. Namun, dalam tempoh lebih setahun SPRM diwujudkan, pencapaiannya masih mengecewakan.

Yang paling mengecewakan pastinya kes Teoh Beng Hock yang hingga kini berdepan beribu persoalan. Samada benar beliau membunuh diri atau mati dibunuh sepertimana didakwa sesetengah pihak, umum masih mempersoal apakah rasional beliau disoal-siasat hingga larut malam? Yang diketahui umum, beliau disiasat sebagai seorang saksi, bukan pun sebagai orang yang disyaki. Dan dakwaan rasuah dalam kes itu pun melibatkan jumlah tidak sampai RM3000. Tidak pula diketahui samada beliau suspek jenayah besar yang memerlukan siasatan segera seakan-akan keselamatan negara berdepan ancaman getir yang sangat serius.

Tidak lupa juga kes dua enjin pesawat jet F5 yang hilang dicuri. Yang didakwa bagi kes ini hanyalah dua orang individu yang tidaklah tinggi pangkat dan kedudukannya. Walhal ramai beranggapan lebih ramai yang terlibat memandangkan objek yang dicuri bukannya kecil dan tidak mudah diurus dibawa ke luar negara. Memanglah siasatan kes ini lebih menjurus kepada siasatan dalaman pihak tentera. Namun tidak masuk akal sekiranya tiada langsung individu-individu daripada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkanun lain yang terlibat.

Begitu juga ceritanya berkenaan kes-kes salah laku yang termaktub dalam Laporan Audit Negara 2008. Antara contoh kes salah laku yang dilaporkan ialah komputer riba yang berharga kurang RM5000 sebuah yang dibayar harga lebih RM40,000, 12 pokok pinang yang berharga kurang RM2000 dibayar harga RM9000, dan kerugian lebih RM1 billion yang ditanggung kerajaan bagi projek landasan keretapi berkembar elektrik bagi laluan dari Rawang ke Ipoh.

Kes-kes seperti ini sebenarnya sudah sekian lama dilaporkan. Dalam beberapa buku beliau yang diterbitkan pada tahun 1970'an, Professor Syed Hussein Alatas telah mengulas masalah rasuah di negara ini dengan cukup mendalam. Dan contoh kes rasuah yang dibincang beliau banyak berkisar pada apa yang terkandung dalam laporan tahunan Jabatan Audit Negara.

Sebagai contoh, dalam bukunya Intellectuals in Developing Societies (Intelektual Masyarakat Membangun), Alatas memetik kandungan Laporan Juru Audit Negara Kerajaan Persekutuan 1968 yang melaporkan bahawa dalam tempoh tiga tahun (dari tahun 1965 hingga 1967), Jabatan Telekom ketika itu telah kehilangan 1,662 peti kabel tembaga, seberat 598,556 paun yang bernilai hampir sejuta ringgit! Alatas juga memetik dalam buku yang sama kes kontrak pembangunan kapal korek yang bernilai hampir dua juta ringgit yang ditandatangani kerajaan persekutuan pada tahun 1964. Kapal korek itu hanya beroperasi selama tiga bulan sebelum mengalami kerosakan. Dilaporkan tidak ada pihak yang dipertanggungjawabkan bagi kes berkenaan.

Memandangkan kes-kes seperti ini sudah berlaku sejak lebih 30 tahun yang lalu, secara logiknya dengan wujudnya agensi pencegah rasuah seperti BPR dahulunya, dan SPRM sekarang ini, kes-kes seperti tidak lagi berlaku secara berleluasa. Namun, sepertimana yang terkandung dalam Laporon Audit Negara 2008, dan sepertimana yang diakui SPRM sendiri baru-baru ini, rasuah di sektor awam masih ditahap yang serius dan membimbangkan. Maka tidak menghairankan sekiranya masih ramai di kalangan rakyat negara ini yang masih kurang yakin dengan peranan dan tindakan SPRM.

Sebilangan besar rakyat Malaysia tidak partisan dalam persepsi mereka. Mereka hanya mahu melihat keadilan terlaksana. Bilamana adanya pemimpin-pemimpin politik (baik di pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat) dan pegawai-pegawai kerajaan yang rumah, kereta dan harta bendanya jelas melampaui pendapatan yang diterima, ramai yang tertanya-tanya mengapa perkara seperti ini dibiarkan berleluasa.

Misi dan visi SPRM itu cukup hebat dan cantik. Namun janganlah hanya cantik diatas kertas. Bukankah rasuah itu suatu barah yang boleh menghancurkan negara? Sejarah telah membuktikan bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu runtuh kerana rasuah. Malaysia pastinya tidak mahu terjerumus ke arah yang sama.

No comments: