Friday, 11 June 2010

Isu 'Allah': Salahkah Orang Melayu Beremosi?

(The following is my article for Centre for Policy Initiatives, published on its website on 27th May 2010)

"Salahkah orang Melayu beremosi?" Begitulah keluhan yang dilontar saudara Akramsyah Sanusi ketika berucap di pentas Bloggers Universe Malaysia (BUM 2010) hujung minggu yang lalu. Konteks keluhan ini adalah isu kalimah 'Allah' yang masih belum bertemu jalan penyelesaian. Saudara Akramsyah seterusnya menambah, sekiranya ramai di kalangan puak majoriti (orang Melayu di Malaysia) hatinya terguris kerana isu ini, puak minoriti perlu bertolak ansur demi memelihara kesejahteraan dan keamanan negara.

Ada benarnya apa yang diluahkan saudara Akramsyah. Untuk memelihara keharmonian antara rakyat pelbagai kaum dan agama, emosi masing-masing perlu dihormati dan dijaga. Jika orang Cina atau Melayu mengadakan majlis keramaian dan diundang pula tetamu yang beragama Hindu, janganlah dibiarkan segala hidangan yang disediakan mengandungi daging lembu. Nanti terguris hati tetamu beragama Hindu yang hadir. Emosi mereka pasti terganggu.

Emosi orang Cina juga boleh terganggu sekiranya adat dan budaya mereka tidak dihormati. Contohnya, sekiranya kita ingin memberi hadiah harijadi kepada seorang rakan berbangsa Cina, janganlah diberikan hadiah sebuah jam dinding atau jam perhiasan. Emosi dan perasaan rakan berbangsa Cina itu pasti akan terganggu juga. Manakan tidak! Dalam budaya masyarakat Cina, menghadiahkan seseorang sebuah jam seumpama mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang ajalnya hampir tiba.

Emosi mempengaruhi kelakuan dan motivasi seseorang. Ini telah dibuktikan dalam banyak kajian dalam bidang psikologi. Namun, bertindak kerana emosi bukanlah suatu kaedah yang efektif. Emosi kita adakalanya tidak rasional yang mungkin berpunca daripada salah faham atau kepercayaan pada fakta yang salah.

Contohnya, pada penghujung tahun 1990'an, emosi dan perasaan masyarakat Melayu tercalar hebat akibat laporan kes murtad seorang wanita beragama Islam. Ada pihak yang mendakwa jumlah kes murtad ini mencecah ratusan ribu di seluruh negara. Namun, bila dibandingkan dengan fakta yang ada, sepertimana yang dilaporkan dalam kajian pensyarah Universiti Teknologi Mara, Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil, angka yang sangat besar itu jelas tidak munasabah. Memang kes murtad itu ada namun jumlahnya jauh lebih kecil daripada apa yang digembar-gemburkan.

Emosi yang berkobar-kobar ternyata tidak semestinya berlandaskan fakta dan kebenaran. Maka agak malang sekiranya saudara Akramsyah terus berkeras menggunakan alasan emosi sebagai panduan ke arah jalan penyelesaian. Isu kalimah 'Allah' memang banyak mempengaruhi emosi, namun tidakkah terlintas di benak fikiran Akramsyah dan lain-lain pihak yang membantah keputusan mahkamah tinggi dalam kes ini bahawa emosi mereka itu mungkin tidak rasional dan tidak berasas?

Di pentas yang sama, saudara Akramsyah turut mendakwa dengan lantang bahawa tidak ada satu pihak pun setakat ini yang telah memberikan cadangan jalan penyelesaian. Dakwaan yang sangat menghairankan kerana pelbagai cadangan sebenarnya telah dilemparkan.

Contoh terbaik ialah analisa dan cadangan yang diberikan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Dalam artikelnya yang bertajuk 'Nama Allah: Hukum Asal, Dakwah dan Siasah' yang siarkan di blognya, Ustaz Zaharuddin menjelaskan dengan terperinci bahawa dari segi hukum, penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang-orang bukan Islam itu sebenarnya diharuskan. Yang dibimbangi adalah dari sudut dakwah dan siasah, yaitu sekiranya penggunaan ini disalahgunakan untuk kegiatan dakwah agama lain kepada orang-orang Islam. Walaupun Ustaz Zaharuddin secara peribadi bersetuju dengan pendirian melarang orang-orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah, di penghujung artikelnya beliau mencadangkan:

"Jikalau keputusan mahkamah (selepas rayuan) tetap mengizinkan penerbit Kristian menterjemah kalimah 'God' kepada Allah dalam penerbitan mereka, saya bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak yang mencadangkan agar Kerajaan mengadakan segera muzakarah dan dialog di antara ulama, pakar undang-undang dan pihak Kristian bagi memastikan kebenaran itu tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islam dan segala penulisan dihadkan kepada penganut Kristian semata-mata. Tatkala itu syarat-syarat dan perjanjian perlu dibuat bagi menjaga kehamonian masyarakat dalam Negara."

Nah, tidak cukupkah cadangan seperti ini yang diberikan, atau mungkin pada tanggapan saudara Akramsyah, hanya pandangan dan cadangan yang selari dengan pendirian Umno sahaja yang wajar dipertimbangkan. Cadangan Ustaz Zaharuddin ini ternyata tidak jauh berbeza dengan pendirian PAS dan PKR dalam isu ini, dan selari juga dengan undang-undang yang sedia ada yang melarang segala usaha dakwah agama lain kepada penganut agama Islam.

Emosi sebilangan orang Melayu yang panas akibat isu ini banyak diapi-apikan media pro-kerajaan dan tindakan kurang bijak yang diambil agensi-agensi agama dalam kerajaan. Mimbar Jumaat di seluruh negara misalnya telah digunakan untuk mempengaruhi orang-orang Islam agar membantah sekeras-kerasnya keputusan mahkamah yang membenarkan kalimah Allah digunakan orang-orang bukan Islam.

Persoalannya, mengapa tidak mimbar yang sama digunakan untuk menerangkan mengapa dari segi hukum, tidak ada dalil kukuh yang menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah? Mengapa tidak dijemput Tokoh Ma'al Hijrah 2009, Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyampaikan syarahan perdana bagi menghurai isu ini dengan mendalam yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara?

Bukankah kaedah seperti ini akan dapat meredakan emosi yang panas dan membalut hati-hati orang Islam yang terguris? Bukankah cara ini lebih positif dan bermanfaat dalam usaha memupuk persefahaman antara rakyat pelbagai kaum dan agama? Atau, adakah saudara Akramsyah dan yang lain-lain yang sealiran dengannya sebenarnya tidak mahu emosi yang panas ini disejukkan?

Di akhir sessi perbincangan isu ini di BUM 2010, saudara Akramsyah bijak menyebut bahawa isu ini sebenarnya memberikan peluang keemasan bagi sesetengah pihak untuk tampil sebagai 'hero' yang menyelesaikan masalah. Saya amat bersetuju dengan pendapat ini, namun kurang bersetuju dengan 'hero' yang dicadangkan saudara Akramsyah. Beliau berpendapat, orang Kristianlah yang patut menjadi 'hero' dengan mematuhi perintah larangan yang diputuskan kerajaan, lantas menampilkan ciri manusia yang berhati mulia sepertimana yang dituntut dalam ajaran agama Kristian.

Saya berpendapat, orang yang paling berpeluang tampil sebagai 'hero' ialah Perdana Menteri Najib Abdul Razak. Bayangkan sekiranya beliau dengan tegas mengambil langkah-langkah menganjurkan muzakarah antara pemimpin-pemimpin agama, dan mengadakan sessi-sessi penerangan yang disampaikan ulamak-ulamak tersohor seperti yang disarankan di atas? Populariti dan kredibiliti Najib akan melonjak tinggi sebagai 'Bapa 1Malaysia' yang sejati yang ikhlas memperjuangkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia. Sungguh malang, peluang keemasan ini nampaknya sudah dilepaskan.

2 comments:

Alfian_Troxion said...

tak tau pulak aku pasal cadangan ust zaharudin tu. that's what was lingering at the back of my mind... :) but in the end aaa... apa dah jadik ek ngan isu tu?

Zaki Samsudin said...

Kerajaan telah menfailkan rayuan supaya perintah larangan asal dikekalkan. Tak pasti bila perbicaraannya. Tersangkut di sinilah setakat ni.